Data rakyat Malaysia bocor seolah-olah cabar pihak berkuasa

Pangkalan data diperoleh daripada Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) MyIdentity JPN dan laman web SPR. Gambar kecil: Shamsul Iskandar
Pangkalan data diperoleh daripada Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) MyIdentity JPN dan laman web SPR. Gambar kecil: Shamsul Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kebocoran data lebih 22 juta rakyat Malaysia yang tular pada Selasa seolah-olah mencabar pihak berkuasa yang dilihat lemah dalam mengatasi masalah kecurian data negara.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia berlaku kali kedua setelah kebocoran kali pertama yang juga cuba dijual dalam pasaran gelap melibatkan data kira-kira empat juta rakyat Malaysia pada September 2021.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kebocoran pada tahun lalu telah diambil tindakan sewajarnya oleh pihak dan agensi yang terlibat dalam memastikan keselamatan data-data negara.

“Ini kerana memandangkan kebocoran pada kali ini adalah lebih besar dan lebih berani.

“Salah sebuah portal yang mendedahkan kebocoran ini turut memuatkan tangkap layar bahawa penjual data turut mendedahkan maklumat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Bagi saya ini bukan sahaja cubaan mengaut keuntungan daripada data-data sulit yang dicuri, bahkan penggodam-penggodam ini juga seolah-oleh mencabar pihak berkuasa yang kelihatan lemah dalam mengatasi masalah kebocoran dan kecurian data yang berulang ini,” katanya pada Rabu.

Pada Selasa, tular portal berita melaporkan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia yang didakwa diperoleh dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah dijual dengan harga lebih RM40,000 dalam sebuah forum maya.

Difahamkan, butiran yang bocor termasuklah nombor kad pengenalan, nama, tarikh lahir, alamat rumah, jantina dan nombor telefon berdaftar milik mereka yang lahir antara 1940 dan 2004.

Shamsul Iskandar turut menggesa agar Menteri Dalam Negeri segera menyiasat dan menyelesaikan masalah yang melibatkan kebocoran data rakyat Malaysia.

“Pihak terbabit juga perlu memaklumkan secara terbuka kepada umum langkah-langkah penambahbaikan yang telah dan akan diambil,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!