Jenazah Dr Wan Zawawi selamat dikebumi

Wan Hameerudin Wan Zawawi, anak kepada Ahli akademik dan aktivis sosial allahyarham Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim, 75, menyiram air mawar di pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Rabu. - Foto Bernama
Wan Hameerudin Wan Zawawi, anak kepada Ahli akademik dan aktivis sosial allahyarham Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim, 75, menyiram air mawar di pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah ahli akademik dan aktivis sosial Prof Dr Wan Zawawi Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, pada kira-kira 2.17 petang tadi.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini dengan diimamkan oleh anak Allahyarham, Wan Hameerudin.

Penyanyi Datuk Ramli Sarip juga turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

Wan Zawawi, 75, meninggal dunia kira-kira 6.47 pagi tadi akibat serangan jantung, selepas rebah ketika bersiap hendak menunaikan solat subuh di kediamannya di Seksyen 11, Petaling Jaya.

Beliau meninggalkan seorang balu, Noorshah Mohd Salleh dan tiga anak masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

Allahyarham turut mempunyai seorang lagi anak lelaki hasil perkongsian hidup bersama warga Australia Dr Leslie O’Brien yang kini menetap di Sydney.

Penyunting dan juga rakan baiknya, Gareth Richard berkata, beliau mempelopori pengajian kebudayaan di Malaysia serta seorang ahli antropologi yang cemerlang.

"Selain itu, beliau juga banyak mengajar sains sosial kritikal dan seorang pengajar yang banyak memberi inspirasi. Selepas meninggalkan bidang akademik, Wan masih terus menulis dan menyelidik sehingga beberapa minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Allahyarham sebelum ini merupakan profesor kanan antropologi di Fakulti Seni dan Sosial Sains di Universiti Brunei Darussalam selama 10 tahun sebelum bersara.

Wan Zawawi juga turut dikenali sebagai komposer dan penyanyi yang banyak terlibat dalam penggubahan lagu-lagu berunsur puisi dan kemanusiaan yang dinyanyikan sama ada beliau sendiri atau artis lain.

Allahyarham merupakan penulis lirik lagu ‘Perjalanan Hidup’ yang pernah dipopularkan oleh Ramli Sarip. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!