Jangan ada ‘tokong’ dalam bola sepak

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak hanya akan menjejaskan mutu bola sepak negara selain menyebabkan persaingan tidak sihat.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kewujudan 'tokong' ini juga turut memberi kesan kepada mana-mana pasukan untuk bermain secara adil dan bersih ketika beraksi.

Menurutnya, bola sepak adalah sukan untuk semua, bukannya dikawal oleh individu sehingga menyebabkan adanya situasi yang memerlukan persetujuan daripada 'tokong' terbabit.

“Tokong' dalam bola sepak tidak boleh wujud sekiranya setiap pasukan mahu berentap secara adil.

“Bola sepak ini bukan untuk individu, sebelum perlawanan, bawa 'banner' besar tulis 'fair play' tetapi ada tokong. Semua nak kena pi sembah dia, nak kena tanya dia dulu, jenuh la nak main bola macam ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi merujuk insiden yang berlaku pada perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menyaksikan NSFC tewas 0-1 hasil jaringan penyerang import JDT, Fernando Forestieri menerusi masa tambahan 10 minit masa kecederaan pada babak kedua perlawanan saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 11 Mei lalu,

Menteri Besar Kedah itu menyifatkan apa yang berlaku itu sangat luar biasa kerana tambahan masa 10 minit diberikan oleh pengadil memandangkan kebiasaannya masa tambahan paling lama diberikan adalah tujuh minit.

“Ini satu kejadian luar biasa dalam kancah bola sepak negara mahupun dunia, pengadil perlawanan berikan tambahan masa 10 minit pada babak kedua perlawanan antara JDT dan NSFC.

“Pasukan yang begitu kuat nak atasi satu pasukan yang berbelanja kecil, perlukan tambahan 10 minit, saya anggap ia sangat luar biasa,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perkara berkenaan amat menggelikan hati dan perlu ditangani segera.

“Bukan saya seorang pertikaikan tambahan masa itu, ramai lagi persoalkan di media sosial. Sebabnya masa tambahan paling panjang pun tujuh minit, itu pun kalau ada patah kaki contohnya yang perlukan pemain diusung keluar.

"Dalam perlawanan itu, patah jari pun tak ada, masa tambahan sampai 10 minit. Ini sesuatu yang ‘rare'," jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, perkara itu sebenarnya ‘dihidu’ ramai pihak namun mereka tidak bercakap mengenainya.

"Jangan sampai saya bercakap pula. Apa yang saya katakan ini, baharu permulaan. Kalau keluar semua sekali, habislah. Banyak lagi perkara yang saya sedang kumpulkan dan patut dicakap. Saya cakap untuk kebaikan bola sepak, kalau betul nak tingkatkan mutu bola sepak negara, perkara 'rare' sebegini perlu dilihat dengan mata terbuka," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berharap pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dapat memperbaiki mutu permainan susulan prestasi hambar sejak kebelakangan ini.

“KDA FC antara pasukan yang berbelanja besar, bayar sejumlah gaji yang tinggi kepada pemain yang masih ada kontrak kecuali pemain baharu yang dipilih kemudian. Namun perbelanjaan pasukan masih sekitar RM1.7 juta sebulan.

“Jika prestasi kurang memuaskan tentulah mengecewakan penyokong, penonton dan penaja. Jadi saya harap pasukan kita akan kembali pulih selepas ini. Tingkatkan prestasi, stamina, daya juang kerana pada tahun kita berdepan kemelut kewangan, prestasi kita ketika itu lebih baik,” katanya.

Muhammad Sanusi mengakui kurang berpuas hati dengan pencapaian KDA FC setakat ini selepas mengalami kekalahan berturut-turut.

“Pasukan Negeri Sembilan hanya berbelanja sekitar RM10 hingga RM11 juta setahun berbanding kita lebih RM20 juta. Jadi tentulah ada penambahbaikan yang boleh dilakukan kerana dari segi kewangan kita 'double' daripada Negeri Sembilan, namun keputusan tidak memberangsangkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!