'Kami akan berikan terbaik untuk ke final'
STATUS Vietnam sebagai tuan rumah dan juga juara bertahan tidak menggentarkan barisan pemain skuad Bawah 23 Tahun (B23) negara menjelang aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Viet Tri di wilayah Phu Tho malam Khamis.
Kapten Harimau Muda, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berkata, perkara itu tidak menjejaskan semangat dan keazaman tinggi rakan sepasukannya untuk menyaingi kehebatan skuad bimbingan Park Hang-seo dalam memburu tempat ke final.
Katanya, prestasi pasukan sepanjang kempen Kumpulan B yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan selaku naib juara dengan mengekalkan rekod tanpa kalah, tidak boleh menjadi ukuran pada perlawanan itu nanti.
"Bagi saya perlawanan separuh akhir adalah berbeza dengan saingan kumpulan kerana semangat dan keyakinan kita berbeza. Insya-ALLAH saya percaya dengan rakan sepasukan dan kita boleh beri kejutan kepada rakyat Malaysia.
"Kami mengharapkan sokongan semua pihak dan dengan doa ibu bapa kami serta rakyat Malaysia, kami boleh buat yang terbaik untuk negara. Kami akan berikan segalanya untuk mara ke final,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media praperlawanan, pengendali skuad B23 negara, Brad Maloney berhasrat untuk membimbing pasukan itu melangkah lebih jauh dalam pertandingan kali ini.
Malah, beliau turut berharap anak buahnya dapat mengelak daripada penentuan sepakan penalti pada pertembungan tersebut.
"Sudah tentu kita mahu melangkah lebih jauh kali ini dan saya rasa tiada pemain yang mahu bermain lebih daripada 90 minit perlawanan,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan Vietnam, Maloney berkata, walaupun skuad bimbingan Hang-seo itu diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain senior selain dibarisi ramai pemain berkualiti, namun beliau yakin barisan pemain negara mampu menghadapinya.
"Kita adalah pasukan termuda dalam separuh akhir ini jadi kita perlu berikan yang terbaik dan perlu berada pada tahap terbaik.
"Kami menyedari beberapa teknik permainan ada pada pasukan Vietnam yang perlu kami hadapi esok tetapi pemain saya sudah bersedia dengan baik,” katanya.
Perlawanan pada Khamis itu ibarat aksi ulangan separuh akhir edisi 2005 di Filipina yang menyaksikan pasukan lawan menang 2-1 dan skuad kebangsaan menamatkan saingan dengan meraih pingat gangsa selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.
Malaysia juga terkandas di tangan Vietnam pada peringkat sama edisi 2003 di sini selepas tumbang 3-4 dan turut membawa pulang gangsa selepas mengatasi Myanmar.
Namun, dendam dua kekalahan itu berjaya dilunaskan apabila Malaysia mengecewakan Vietnam 1-0 di pentas final untuk merangkul emas pada edisi 2009 di Laos.
Dalam pada itu, satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Thailand akan membuat perhitungan menentang Indonesia di Stadium Thien Truong di wilayah Nam Dinh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!