Terbuka Thailand: Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua

Zii Jia - Foto Bernama
Zii Jia - Foto Bernama
A
A
A

PERSEORANGAN lelaki negara Lee Zii Jia memulakan kempen Terbuka Thailand 2022 dengan kemenangan mudah ke atas Ade Resky Dwicahyo dari Azerbaijan di Impact Arena, di sini, pada Rabu.

Pilihan keenam kejohanan itu mengambil masa 36 minit untuk menewaskan pemain badminton Azerbaijan yang dilahirkan di Indonesia itu, 21-19, 21-9 dalam pusingan pertama.

Dalam set pertama, pemain berusia 24 tahun itu menguasai permainan namun diberi tentangan kuat sehingga terikat 15-15, sebelum ‘memecut’ untuk menang 21-19.

Dalam set kedua, Zii Jia memperkukuh serangan untuk meraih kemenangan 21-9.

Beliau akan berdepan pemain Jerman Kai Schaefer dalam pusingan seterusnya, esok.

Perseorangan profesional negara Liew Daren turut melangkah ke pusingan kedua dengan menewaskan Prannoy H S dari India 21-17, 15-21, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 1 jam lima minit.

Daren akan bertemu Koki Watanabe dari Jepun pada pusingan seterusnya.

Sementara itu, perseorangan muda berpotensi negara Ng Tze Yong kalah kepada pemain Taiwan Wang Tzu Wei dalam rubber game.

Tzu Wei terpaksa berhempas-pulas selama 1 jam lapan minit untuk menundukkan Tze Yong 21-12, 13-21, 21-19.

Selain itu, beregu campuran profesional Goh Soon Huat- Lai Shevon Jemie turut melepasi pusingan pembukaan di kejohanan tersebut.

Pasangan itu mengambil masa 25 minit untuk mengalahkan Vinson Chui-Jennie Gai dari Amerika Syarikat 21-13, 21-12 dalam pusingan pertama.

Beregu pilihan keenam kejohanan itu akan bermain menentang Ishaan Bhatnagar dan Tanisha Crasto dari India pada pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, satu lagi beregu profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga gagal ke pusingan seterusnya setelah dikalahkan pasangan Jerman Jones Ralfy Jansen-Linda Efler 17-21, 21-16, 13-21.

Sementara itu, jaguh perseorangan wanita negara S Kisona tersingkir awal daripada kejohanan apabila tewas kepada Ruselli Hartawan dari Indonesia 21-14, 18-21, 19-21 dalam perlawanan 59 minit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!