Kementerian Pendidikan puji usaha Pemadam
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan memuji usaha Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menerusi program pencegahan dadah melibat sekolah dan universiti di negara ini.
Timbalannya Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya turut mengalu-alukan usaha NGO itu di semua peringkat bagi melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) bersama pegawai di kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Menyedari bahawa dadah adalah musuh nombor satu negara, kementerian sentiasa komited memerangi dadah dengan menekankan program-program pencegahan kepada seramai lima juta orang murid sekolah seluruh negara.
"Kementerian Pendidikan telah mengarahkan sekolah melaksanakan program-program pencegahan dadah secara eksplisit dan implisit. Bagi memastikan PPDa di sekolah berjalan dengan lancar kementerian telah menempatkan pegawai Pendidikan Pencegahan di JPN dan PPD seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pertandingan Bilik Sumber dan Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Peringkat Kebangsaan 2019.
Pada majlis tersebut Nie Ching menyampaikan hadiah kepada 20 buah sekolah yang memasuki peringkat akhir pertandingan bilik sumber PPDa dan laluan Sumber PPDa peringkat kebangsaan.
Empat kategori diperkenalkan antaranya, Bilik Sumber Menengah, Bilik Sumber Rendah, Laluan Sumber Menengah dan Laluan Sumber Rendah.
Penilaian dijalankan selama dua bulan bermula Oktober hingga November 2018.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, anugerah tersebut adalah satu inisiatif berkesan yang mampu memberi impak kepada bilangan murid ramai dalam jangka masa panjang.
"Kementerian Pendidikan dari masa ke semasa akan memantapkan PPDa di JPN, PPD dan sekolah.
"Pegawai pendidikan pencegahan dadah di JPN, PPD dan Jawatankuasa PPDa di sekolah perlu sentiasa peka terhadap masalah dadah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!