Skuad boling negara garang hari pertama di Hanoi 2021
Skuad boling negara berada di landasan terbaik untuk meraih pingat Sukan SEA dalam acara berpasukan lelaki dan wanita,selepas mengungguli hari pertama pada Rabu. - Foto Bowling Malaysia
A
A
A
Pasukan lelaki yang terdiri daripada Nevern Netaneel, Mohd Hafiz Zainuddin, Mohd Syazirol Shamsuddin dan Shahrukh Amin Zulkifli melakukan 2,678 jatuhan pin untuk menamatkan saingan di Pusat Boling Heroworld, Vincom Megamall Royal City.
Filipina yang dibarisi Patrick Nugui, Christian Viray, Ivan Malig dan Merwin Matheiu Tan menamatkan saingan dengan 2,611 jatuhan pin diikuti pasukan Singapura dibarisi Mohd Jaris Goh, Timothy Tham, Darren Ong dan Cheah Ray Han dengan 2,497 jatuhan pin.
"Kami telah bersedia bagi acara berpasukan untuk sekian lama dan keputusan hari ini adalah seperti yang kami inginkan. Kami semua melakukan yang terbaik hari ini dan saya bangga dengan pasukan saya.
"Kami akan terus mengekalkan momentum. Kami tidak boleh terlalu yakin atau rasa berada dalam zon selesa, kami masih perlu melakukan yang terbaik pada saingan esok," kata Shahrukh Amin.
Sementara itu, pasukan wanita yang diwakili Nur Syazwani Sahar, Nerosha Keligit, Nora Lyana Nastasia Kamal dan Gillian Lim menjatuhkan 2,506 pin untuk mendahului carta hari ini.
Daphne Tan, Bernice Lim, New Hui Fen dan Cherie Tan dari Singapura di tempat kedua dengan 2,443 jatuhan pin manakala Putty Armein, Shinta Yunita, Sharon Limansantoso dan Tannya Roumpiper dari Indonesia di tempat ketiga dengan mengutip 2,346 pin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!