Kim Swee puji 'impak maksima' Baddrol
Baddrol selaku kapten pasukan diberi kepercayaan oleh Kim Swee untuk berada di jentera serangan sekali gus berjaya memberi impak positif untuk memastikan kemenangan berharga Sabah.
Jelas Kim Swee, beliau juga tidak menjangka anak buahnya mampu memperoleh empat gol apatah lagi selepas Penang FC berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit 51.
“Kita tahu Baddrol merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan dia bermain dengan cukup baik di posisi berlainan di mana kita bermain selama 120 minit tempoh hari dalam Piala FA, dan ini memberi impak dari segi keletihan.
“Tetapi majoriti pemain menunjukkan tahap kecergasan memuaskan. Kalau ikut perancangan, sudah tentu saya tidak menjangkakan sehingga empat gol tetapi pemain bangkit selepas gol penyamaan dan ini menunjukkan mereka berada di tahap cukup terutama dari segi mentaliti dan keyakinan mereka,” katanya.
Dalam perlawanan itu, anak buah Kim Swee terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi tandukan Baddrol, sekali gus meletakkan pelawat di depan pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Harimau Kumbang kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol yang dijaringkan T Saravanan pada minit ke-51.
Tersentak dengan jaringan itu, Sabah menggandakan asakan menyaksikan Jackson De Souza kembali meletakkan pelawat di depan menerusi jaringan pada minit ke-57, sebelum selang tiga minit, Baddrol melakukan ‘overhead kick’ untuk gol ketiga Sabah.
Anak buah Kim Swee itu melakukan lebih banyak serangan dan berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan Stuart John Wilkin pada minit ke-66, sebelum Hilal El-Helwe kemudian merapatkan kedudukan untuk Penang FC pada minit ke-76'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!