Kepala empat anak rubah tersangkut roda kenderaan

Kepala seekor anak rubah tersangkut pada lubang sebuah roda kenderaan di London baru-baru ini. - Foto AP
Kepala seekor anak rubah tersangkut pada lubang sebuah roda kenderaan di London baru-baru ini. - Foto AP
A
A
A

LONDON - Kepala empat ekor anak rubah tersangkut di lubang tengah roda kereta lama untuk tempoh beberapa hari di London, kata sebuah badan amal haiwan baru-baru ini.

Difahamkan insiden sama juga sudah dilaporkan beberapa kali berlaku sejak empat minggu lalu.

Seorang pegawai Penyelamat Haiwan Persatuan Diraja untuk Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA), Nick Jonas berkata, sejak sebulan lalu, pasukannya sibuk menyelamat dan mengeluarkan kepala anak-anak rubah dari lubang roda kereta.

Pegawai RSPCA telah dipanggil untuk dua insiden terbaru yang berlaku dalam masa seminggu di sebuah garaj pembaikan kereta di Bethnal Green, timur London pada 10 Mei dan di Taman Newham yang berdekatan lima hari sebelumnya.

Dalam kerja-kerja menyelamat yang sukar pada 9 Mei lalu, rakan sekerja Jonas, Lee Rickets bekerjasama dengan pasukan bomba London di Haringey, utara London, untuk membebaskan anak rubah yang ketiga.

Seekor lagi anak rubah dan merupakan haiwan yang keempat berjaya diselamatkan di Orpington, tenggara London, pada 22 April.

Pegawai RSPCA percaya haiwan itu sedang mencari makanan ketika kepala haiwan berkenaan tersangkut pada lubang roda kenderaan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!