Keselamatan makanan: Bank Dunia umum pembiayaan AS$30 bilion
WASHINGTON - Bank Dunia pada Rabu mengumumkan pembiayaan sehingga AS$30 bilion di bawah pelan tindak balas global dalam usaha menangani krisis keselamatan makanan, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan bank itu memaklumkan, pembiayaan berkenaan adalah untuk sektor seperti pertanian, pemakanan, perlindungan sosial, air dan pengairan bagi tempoh 15 bulan akan datang.
Pembiayaan itu juga termasuk untuk menggalakkan pengeluaran makanan dan baja, meningkatkan sistem makanan dan menyokong pengeluar dan golongan rentan.
"Kenaikan harga makanan memberi kesan buruk kepada golongan miskin dan rentan," kata Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass.
Justeru, beliau menggesa semua negara untuk melakukan usaha bersepadu bagi meningkatkan bekalan tenaga dan baja, membantu petani meningkatkan penanaman serta hasil tanaman selain "menghapuskan dasar menyekat eksport dan import”. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!