Ketua PKR Cabang Sabak Bernam yakin pertahan jawatan

Rahim (duduk, tengah) bersama calon yang bakal bertanding di Cabang Sabak Bernam pada pemilihan PKR.
Rahim (duduk, tengah) bersama calon yang bakal bertanding di Cabang Sabak Bernam pada pemilihan PKR.
A
A
A

SABAK BERNAM - Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sabak Bernam, Datuk Seri Rahim Ahmad yakin mampu mempertahankan jawatan bagi penggal kedua pada pemilihan parti itu meskipun berdepan saingan empat penjuru.

Rahim berkata, potensi beliau untuk terus mempertahankan kerusi itu berada pada tahap 70 peratus.

Menurutnya, dalam pemilihan kali ini, beliau dicabar tiga calon lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman.

"Saya akui saingan pada pemilihan parti kali ini sengit, tetapi yakin sokongan akar umbi termasuk ketua kampung berpihak pada saya untuk terus menerajui cabang ini," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di sini pada Khamis.

Rahim berkata, sepanjang mengetuai cabang itu, beliau telah melaksanakan kerja parti dengan konsisten termasuk membuka lebih banyak ranting di cabang berkenaan.

Menurutnya, usaha itu dilakukan bagi memastikan PKR terus mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat di Parlimen Sabak Bernam.

Beliau berkata, pertandingan empat penjuru dalam cabang itu disifatkan sebagai pertembungan dalam semangat kekeluargaan.

"Ini bukan soal hendak mencari kelemahan antara sesama rakan, sebaliknya kita bertanding atas semangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan paling penting kita perlu bersatu untuk menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15).

"Kalau saya memenangi pemilihan kali ini, sudah tentu perkara utama yang akan dilakukan ialah untuk menyatukan semua bagi memenangkan PKR jika bertanding kelak," katanya.

Mengulas kemungkinan terdapat amalan politik wang pada pemilihan parti itu, Rahim berkata, sudah tentu perkara itu perlu dipandang serius.

Justeru, katanya, ahli parti seharusnya menolak pemimpin yang mengamalkan politik wang kerana ia hanya merosakkan nama baik parti.

"Saya berharap ahli parti bijak menilai dan memilih pemimpin berintegriti dan bersih bagi mencerminkan parti ini kepada rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!