‘Ikat perut’ dituju kepada jabatan kerajaan elak membazir

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar anggota kerajaan ‘ikat perut’ perlu dilihat pada penggunaan bajet setiap jabatan kerajaan bagi mengelak berlakunya pembaziran.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali berpendapat, Dr Mahathir tidak mahu bajet yang diperuntukkan, digunakan untuk projek yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat.

“Ada projek sebelum ini dijalankan hanya dibazirkan sahaja. Mungkin itu maksud ikat perut sebenarnya.

"Sebaiknya setiap jabatan kerajaan berbelanja dengan sebaiknya apabila menggunakan dana kerajaan dan projek yang tidak relevan tidak diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyarankan seluruh rakyat termasuk anggota kerajaan perlu 'ikat perut' sedikit supaya dapat mengurangkan perbelanjaan dan bayar hutang.

Ia juga susulan keyakinan Dr Mahathir berkaitan masalah pentadbiran dan kewangan negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu akan dapat dipulihkan dalam tempoh tiga tahun.

Dalam pada itu, bagi rakyat pula, Anuwar berkata, saranan Dr Mahathir itu mengajak rakyat keseluruhannya berbelanja dengan lebih berhemah.

“Bukanlah untuk golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi yang berpendapatan lebih tinggi kerana penjimatan memang akan beri kesan baik pada ekonomi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anuwar yang juga bekas Naib Canselor Open Universiti berkata, pemulihan kewangan dan pentadbiran negara akan dapat dicapai apabila sektor pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengurusan sumber manusia turut diberi perhatian.

“Insya-ALLAH jika semua ini diperkemas dan ditingkatkan, maka proses pemulihan kewangan negara akan boleh terlaksana seperti direncanakan.Pentadbiran pula perlu diperkemaskan lagi, elakkan birokrasi dan tarik lagi pelaburan asing ke negara ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!