Isu kabotaj: Dakwaan kaunselor Indonesia mengelirukan

 Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenyataan kaunselor hal ehwal ekonomi bagi konsulat Indonesia di Sabah, Muhammad Muhsinin Dolisada berhubung penggunaan kapal dagang kayu dan kecil di perairan Malaysia dan Indonesia dengan mengaitkan dasar kabotaj adalah tidak tepat dan mengelirukan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, Muhammad yang kenyataannya disiarkan media termasuk media dalam talian telah tersilap mengaitkan isu itu dengan dasar kabotaj Malaysia, sebaliknya ia berkaitan dengan kapal bukan konvensyen dari Indonesia.

Media memetik kenyataan Muhammad yang menyebut "perdagangan yang dijalankan di perairan Tawau dan Kalimantan, Indonesia kini dilakukan dengan kapal kayu dan kapal yang lebih kecil, yang tidak diiktiraf di bawah peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Di bawah had kabotaj, IMO mengehadkan perdagangan untuk dijalankan dengan kapal badan keluli."

Ka Siong dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, dasar kabotaj dikawal di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) dan bukan di bawah peraturan IMO.

Beliau berkata, Subseksyen 65L (3) MSO 1952 memperuntukkan pengecualian daripada Seksyen 65L kepada kapal berdaftar Malaysia iaitu berat bersih di bawah 15 tan; berlesen di bawah Seksyen 475 MSO 1952 (lesen bot); berlesen di bawah MSO 1960 (Sabah) dan (Sarawak); dan dimiliki atau disewakan oleh kerajaan Malaysia, kerajaan negeri atau Lembaga Pelabuhan.

Ka Siong berkata, daripada dasar kabotaj tersebut, ia melibatkan pengiktirafan sijil perdagangan untuk kapal bukan konvensyen yang kebiasanya kapal di bawah 500 tan dari Indonesia, yang kebanyakannya digunakan untuk menjalankan perdagangan pertukaran barang.

Pada Disember 2018, katanya, Malaysia bersama lapan negara anggota ASEAN lain kecuali Myanmar ketika itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai Sijil Pengiktirafan Bersama bagi Kapal Bukan Konvensyen (NCV).

Di bawah MOU itu, Malaysia mengiktiraf sijil NCV seperti yang ditetapkan oleh pentadbiran maritim pusat negeri bendera masing-masing.

Ka Siong berkata, Jabatan Laut Malaysia (JLM) membenarkan kemasukan NCV dari Indonesia ke pelabuhan Malaysia dengan syarat mereka mematuhi dan memiliki sijil keselamatan yang diperlukan seperti yang ditetapkan oleh Direktorat Jenderal Perhubungan Laut Indonesia untuk dibawa ke atas NCV Indonesia.

"Ini diamalkan di seluruh Malaysia dalam menguruskan kapal dagangan pertukaran barang dari Indonesia, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!