Sektor pelancongan, perhotelan Langkawi perlu pekerja
PENDANG - Program temuduga digerakkan di seluruh negara oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengatasi segera kekosongan pekerjaan dalam sektor pelancongan dan perhotelan terutama di Langkawi.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, Sabah dan Sarawak menjadi destinasi pertama mereka pada awal Mei lalu yang memberikan tumpuan kepada pekerja tempatan.
Menurutnya, program temuduga tersebut dilaksanakan oleh jawatankuasa khas yang dibentuk oleh KSM membabitkan kerjasama agensi di bawah kementeriannya dan pemain industri terlibat.
“Kita tumpukan di dua negeri ini secara agresif untuk mengisi kekosongan dalam sektor ini dan secara tidak langsung dapat mengurangkan pekerja asing dalam sektor pelancongan.
“Kita akan memastikan agensi terlibat di bawah kementerian mengadakan temuduga ini sekerap mungkin,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai di Kampung Gajah Mati pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KSM kini memfokuskan kepada pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor pelancongan dan perhotelan.
Menurutnya, hasil pemerhatian Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati sekurang-kurangnya 17,000 pekerja diperlukan dalam dua sektor tersebut di Langkawi sejak kembali beroperasi melalui gelembung pelancongan.
"Buat masa sekarang tiada keperluan untuk pekerja asing mengisi sektor ini," ujarnya.
Beliau berharap rakyat tempatan dapat merebut peluang pekerjaan yang disediakan ini bagi mengelakkan kebergantungan kepada pekerja asing.
“Dalam rekod Perkeso pula, sebanyak 2,164 majikan aktif dalam sektor ini di Langkawi yang memerlukan pekerja. Berdasarkan permohonan mereka, sektor berkenaan memerlukan sehingga 39,000 pekerja.
“Kita tengok ia satu permintaan yang besar jadi kita perlu lihat dan memberi perhatian kepada majikan ini supaya mereka mengisi permohonan pekerja dalam portal melalui Perkeso iaitu MyFutureJobs,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!