KKM kaji cadangan tidak pamer jenama produk rokok
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji cadangan untuk tidak mempamerkan pembungkusan jenama produk rokok selari dengan penggubalan Rang Undang-Undang Larangan Tembakau dan Rokok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, cadangan berkenaan adalah supaya pembungkusan produk rokok tidak dipamerkan jenama dan dibungkus seperti biasa.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu memerlukan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan berkaitan kesihatan dan premis perniagaan.
"Sekiranya ada ‘display banned’ maka pemilik premis perlu buat pengubahsuaian yang melibatkan banyak pemegang taruh. Apabila sudah selesai mengkaji sama ada keberkesanannya terhadap negara dan juga transisi ke arah ‘display banned’ ini.
"Jika setuju maka kita akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Hari Asma Sedunia 2022 di sini pada Khamis.
Khairy berkata, sekiranya larangan pembungkusan jenama produk rokok dilaksanakan, namun larangan itu tiada dalam Rang Undang-Undang Larangan Tembakau dan Rokok, tetapi akan ada dalam peraturan selepas rang undang-undang berkenaan digubal.
Sebelum ini, dilaporkan draf Rang Undang-Undang Larangan Tembakau dan Rokok bagi mereka yang lahir selepas 2005 kini dalam proses semakan akhir Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentang di Parlimen pada Julai.
Di bawah peruntukan akta itu, anak-anak yang lahir pada 1 Januari 2005 atau tahun-tahun selepas itu tidak dibenarkan merokok termasuk membeli atau memiliki sebarang bentuk produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape, walaupun mereka telah melepasi umur 18 tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!