'Saya tak mengadu kepada Najib kerana menaruh syak wasangka'
KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak membuat aduan mengenai penyelewengan yang berlaku kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia adalah berkaitan syak wasangka beliau terhadap bekas Perdana Menteri itu sendiri.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes Najib, 68, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.
Sri Ram: Ketika itu, mengapa anda tidak mengadu kepada Kementerian Kewangan dan Najib mengenai kekecewaan anda berkaitan apa yang telah berlaku dalam 1MDB?
Mohd Bakke: Perkara yang menghalang saya atau membuatkan saya tawar hati untuk berbuat demikian sebenarnya ialah membuat aduan mengenai PM.
Sri Ram kemudian menyifatkan tindakan itu "seolah-olah mengadu mengenai kehilangan biri-biri kepada serigala.”
Mohd Bakke: Itulah sebabnya sejak awal pembabitan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, saya sudah berasa tidak selesa terutama apabila mendapat tahu bahawa pihak pengurusan (1MDB) sudah membahagi-bahagikan bayaran yang membabitkan pelaburan dalam dua entiti asing.
"Itulah yang menyebabkan saya meletak jawatan...,” kata saksi itu.
Katanya, Najib juga tidak pernah menyoal mengapa beliau meletak jawatan meskipun mereka kerap berjumpa selepas beliau meninggalkan 1MDB.
Sri Ram: Selepas anda meletak jawatan, adakah anda puas hati bahawa beliau (Najib) sedar anda telah meletak jawatan?
Mohd Bakke menjawab "Najib tidak pernah tanya mengapa saya letak jawatan. Semuanya berjalan seperti biasa.”
Mohd Bakke adalah Pengerusi 1MDB dari September 2009 hingga 19 Oktober 2009 apabila beliau bertindak meletak jawatan sebagai tanda memprotes penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB membabitkan urus niaga sebanyak AS$1 bilion.
Ketika disoal oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, saksi itu berkata, beliau tidak tahu sama ada keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memperoleh manfaat daripada transaksi dana kekayaan negara itu.
Katanya, beliau hanya tahu mengenai perkara itu baru-baru ini melalui laporan media.
Wan Aizuddin: Tan Sri, adakah anda tahu setakat Januari 2022, Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia telah menyiasat Zeti, suaminya dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram?
Pada peringkat ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam bangun dan membantah atas alasan soalan itu tiada kaitan dengan saksi.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan soalan itu kerana ia bersifat umum.
Perbicaraan bersambung pada 7 Jun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!