Ops Yaman 2: Kuasa MKN tak setanding Kabinet
KUALA LUMPUR – Jawapan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terus dipersoal apabila tidak menyatakan secara jelas misi yang dijalankan dalam Ops Yaman 2, pada tahun 2015.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan jawapan Hishammuddin yang menyatakan kelulusan Ops Yaman 2 itu diperoleh daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai sangat lemah dan penuh helah.
“Jadi saya nak Hishammuddin menjawab, kenapa MKN perlu luluskan (Ops Yaman 2), kenapa tidak di bawah Kabinet?
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu Ops Yaman 2: 'Semua itu rahsia kerajaan’]
[ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin dakwa Chin Tong tak tahu peranan MKN]
“Bukankah Kabinet dan Parlimen badan yang paling berkuasa dan tertinggi di mana penglibatan dalam mana-mana peperangan dengan apa cara pun ia mesti dimaklumkan kerana melibatkan nyawa anggota tentera dan perbelanjaan wang negara,” katanya ketika sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.
Raja Kamarul Bahrin turut mendakwa Hishammuddin cuba memberikan jawapan yang mengelirukan dengan hanya menjelaskan Ops Yaman 1 bukan Ops Yaman 2 seperti disoal.
“Beliau mengulangi misi mengeluarkan rakyat Malaysia dari Yaman yang merupakan tugas di bawah Ops Yaman 1 yang lebih awal.
“Ini adalah untuk mengelirukan rakyat Malaysia tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam Ops Yaman 2,” ujarnya.
Semalam Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menjawab pertanyaan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berhubung penghantaran pasukan tentera Malaysia ke Arab Saudi bagi menyertai Ops Yaman 2.
Hishammudddin berkata, untuk menimbulkan soal sama ada penghantaran pasukan tentera itu mendapat kelulusan kabinet di bawah kerajaan lalu, Chin Tong sepatutnya faham tentang hal seperti rahsia negara, MKN dan sebagainya.
Berikut adalah jawapan Hishammuddin berhubung penghantaran pasukan tentera Malaysia itu.
“(Timbalan Menteri Pertahanan) sepatutnya faham apa maksud rahsia negara, apa maksud Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya.
“Dia lupa apa dia Majlis Keselamatan Negara. Sebab dia kata tak bawa ke Kabinet kan, dia patut tanya pada External Intelligence Research, tanya kepada MKN apa sebenarnya yang kita lakukan tetapi mesti ‘declassify’ maklumat-maklumat kerana ini kepentingan negara," Hishammuddin dipetik sebagai berkata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!