Malaysia sapu bersih emas acara gimrama

Atlet gimrama negara bergambar bersama pingat-pingat yang dimenangi mereka pada Sukan SEA ke-31 di Kompleks Sukan Quan Ngua, pada Khamis. Kem Gimrama Malaysia berjaya meraih dua pingat Emas dan satu pingat Perak dalam temasya Sukan SEA kali ini. - Foto Bernama
Atlet gimrama negara bergambar bersama pingat-pingat yang dimenangi mereka pada Sukan SEA ke-31 di Kompleks Sukan Quan Ngua, pada Khamis. Kem Gimrama Malaysia berjaya meraih dua pingat Emas dan satu pingat Perak dalam temasya Sukan SEA kali ini. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD gimrama negara mencapai sasaran mereka dengan menyapu bersih kedua-dua pingat emas yang ditawarkan dalam edisi ke-31 Sukan SEA di sini, pada Khamis.

Atlet wanita Malaysia mempamerkan aksi yang hampir sempurna untuk memenangi pingat emas dalam acara all-around individu dan berkumpulan di Pusat Gimnasium Quan Ngua di sini.

Malaysia bermula dengan langkah kanan dalam acara itu hari ini apabila gerakan memukau ditampilkan dua gimnas berirama negara berjaya memastikan Malaysia menguasai dua tempat teratas dalam acara all-around individu wanita final.

Gimnas berpengalaman Koi Sie Yan, mengungguli acara tersebut sekali gus meraih pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 109.100 mata daripada empat apparatus, manakala Ng Joe Ee meraih perak dengan kutipan 104.900 mata.

Pingat gangsa acara berkenaan menjadi milik peserta Filipina Labadan Breanna yang mengumpul 96.650 mata.

Kejayaan Sie Yan hari ini yang membuat penampilan keempat pada Sukan SEA sejak 2015, sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2019 di Filipina.

Untuk rekod, sepanjang beraksi pada Sukan SEA, Sie Yan telah meraih enam pingat emas individu ketika memulakan debut di Sukan SEA Singapura (2015) sebelum menambah pingat emas di Kuala Lumpur (2017) dan Filipina (2019).

Pada aksi hari ini, Sie Yan meraih 25.250 mata menerusi apparatus gelung, bola (29.850), riben (26.600) dan belantan (27.400), manakala Joe mengumpul 26.450 mata dalam gelung, bola (25.450), riben (26.600) dan belantan (26.400).

Atlet gimrama Malaysia yang kembali dari Sukan SEA Manila, Filipina membawa pulang empat pingat emas iaitu menerusi acara all-around berkumpulan, dan dua emas berjaya diraih Izzah Amzan menerusi acara apparatus bola dan riben, manakala Sie Yan memenangi emas acara apparatus riben.

Pada temasya kali ini, Vietnam hanya menyenaraikan dua kategori bagi sukan gimrama iaitu all-around individu dan berkumpulan.

Ketika ditemui pemberita, Sie Yan berkata, kejayaan itu membakar semangatnya untuk mencatat keputusan positif pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, Julai depan.

Gimnas berusia 23 tahun itu berkata beliau bersyukur dapat mempertahankan pingat emas pada temasya kali ini, dan mendedikasikan kemenangan tersebut kepada kedua ibu bapanya serta jurulatih, Lidia Legotina yang sentiasa memberikan sokongan dalam kerjayanya selama ini.

"Saya tidak berasa tertekan beraksi di final berbanding ketika di pusingan kelayakan. Saya hanya mahu membuat yang terbaik dan saya gembira dapat mempertahankan pingat emas,” katanya.

Sementara pada aksi sebelah petang, Malaysia meraih emas kedua dalam acara all-around berkumpulan menerusi gandingan Shak Yuki, Ng Jia Wen, Jingle Shak Qi, Yap Yi Tung dan Maia Ong Xiao Han setelah mengumpul keseluruhan 49.200 mata.

Thailand dan Vietnam masing-masing meraih perak dan gangsa selepas mengutip 41.550 dan 37.800 mata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!