Terminal Pelabuhan Klang raih anugerah berprestij di Kanada

Barisan pemenang anugerah IAPH2022 Sustainability Awards semasa majlis makan malam IAPH World Ports Conference di Pusat Konvensyen Vancouver Centre, Kanada pada Selasa.
Barisan pemenang anugerah IAPH2022 Sustainability Awards semasa majlis makan malam IAPH World Ports Conference di Pusat Konvensyen Vancouver Centre, Kanada pada Selasa.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Northport (Malaysia) Bhd diumumkan sebagai pemenang International Association of Ports & Harbours (IAPH) 2022 Sustainability Awards semasa majlis makan malam IAPH World Ports Conference di Pusat Konvensyen Vancouver Centre, Kanada pada Selasa.

Pengurus Besar, Lembaga Pelabuhan Kelang, Kapten K Subramaniam berkata, syarikat tersebut mendapat pengiktirafan di bawah kategori Anugerah Kesihatan, Keselamatan dan Sekuriti yang julung kali dimenangi bagi pelabuhan Malaysia sejak World Ports Sustainability Program diperkenalkan pada 2018.

Beliau yang juga Presiden IAPH menerusi satu kenyataan berbangga dengan pencapaian syarikat tersebut susulan menerima pengiktirafan tersebut di Kanada.

“Saya berbangga salah satu daripada terminal di Pelabuhan Klang menerima pengiktirafan ini di Vancouver, Kanada.

"Usaha Northport dalam bidang kesihatan, keselamatan dan sekuriti telah menerima beberapa anugerah industri, tetapi kemenangan yang diraih di pentas dunia ini adalah sesuatu yang istimewa," katanya pada Rabu.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, Northport (Malaysia) Bhd merancang pelan hala tuju strategik untuk mengendalikan aktiviti perniagaannya ke tahap tertinggi di dalam piawaian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) ke arah mencapai kecemerlangan aspek berkenaan.

Katanya, usaha tersebut bermula dengan fasa 'Transformasi' pada 2012 untuk menggalakkan perubahan minda dan tingkah laku.

"Kemudian, tumpuan dialihkan kepada ‘Pelaksanaan Berkesan’ untuk menguatkuasakan semua tindakan ke arah mencapai matlamat HSE pada tahun 2016 serta memulakan ‘Kelestarian dan Penambahbaikan Berterusan’ untuk mengukuhkan amalan HSE terbaik dalam kalangan pemegang taruh pada tahun 2019.

"Akhir sekali, fasa 'Ketahanan dan Kesinambungan Perniagaan' dikuatkuasakan pada 2020 untuk memeterai komitmen mereka terhadap pengurusan kesinambungan perniagaan," katanya.

Anugerah tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Northport (Malaysia) Bhd, Datuk Azman Shah Mohd Yusof semasa IAPH’s World Port Conference di Vancouver, Kanada yang dihadiri oleh lebih 400 delegasi dalam acara tiga hari itu.

Bertemakan ‘Close the Gaps’, persidangan itu menyaksikan pakar industri berkumpul untuk membincangkan cabaran dan kejayaan teknologi dalam sektor pelabuhan dengan penekanan terhadap kemampanan melalui amalan baik berdasarkan tenaga, pendigitalan serta daya tahan yang cekap dan bersih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!