YBR bantu bekas atlet badminton Sarawak

Syaiful Rizal (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Irsyad Iskandar (dua dari kiri).
Syaiful Rizal (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Irsyad Iskandar (dua dari kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menghulurkan bantuan wang tunai RM 5,000 kepada bekas atlet badminton Sarawak, Irsyad Iskandar Sukiman, 20, untuk menampung kos rawatan penyakit kanser limfoma hodgkin tahap empat yang dihadapinya sejak September lalu.

Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abd Ghani berkata, yayasan tersebut terpanggil untuk membantu Irsyad Iskandar selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Mastuyah Abdul Wahab pada 13 Mei yang lalu.

"Dengan pemberian bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga Irsyad Iskandar serta dapat menampung perbelanjaan kos rawatan bagi menjalani 'aggressive chemotherapy' selama tiga putaran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

YBR yang diwakili Syaiful Rizal menyampaikan sumbangan tersebut di kediaman Irsyad Iskandar di Lorong Bunga Akasia 3, Kuching, Sarawak.

Irsyad Iskandar
Irsyad Iskandar

Jumlah kos perubatan keseluruhan Irsyad Iskandar dianggarkan sebanyak RM150,000.

Dalam pada itu, Mastuyah menjelaskan anaknya itu aktif bermain badminton sejak berumur sembilan tahun dan telah menyertai pertandingan mewakili Sarawak dalam pelbagai kejohanan badminton.

Menurutnya, Irsyad Iskandar terpaksa berhenti bermain badminton pada tahun lalu akibat penyakit tersebut walaupun telah memasang impian untuk menyertai Akademi Badminton Malaysia.

"Namun, Irsyad langsung tidak patah semangat untuk kembali beraksi pada suatu hari nanti jika penyakit yang dihidapi sembuh demi ingin meneruskan minat dalam sukan badminton sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau turut memaklumkan anak bongsunya daripada lima beradik itu telah menjalani 12 sesi kemoterapi tetapi ia masih tidak menunjukkan sebarang tanda positif dalam melawan sel kanser.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Irsyad Iskandar boleh menghubungi Mastuyah Abdul Wahab di talian 012-6161795 atau menyalurkan sumbangan ke akaun RHB Bank 16121700041570 atas nama Mastuyah Abdul Wahab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!