Prabudass terpaksa lupakan hasrat terlibat aksi kompetitif

Prabudass terpaksa melupakan hasrat terlibat dalam aksi kompetitif susulan masalah kesihatan dihadapinya.
Prabudass terpaksa melupakan hasrat terlibat dalam aksi kompetitif susulan masalah kesihatan dihadapinya.
A
A
A

PELARI jarak sederhana negara, K Prabudass terpaksa melupakan hasrat terlibat dalam aksi kompetitif buat masa ini susulan masalah kesihatannya yang turut menyaksikan beliau tidak dibenarkan beraksi di Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam

Pelari berusia 32 tahun itu, sepatutnya mengambil bahagian dalam acara 1,500 meter (m), 5,000m dan 10,000m lelaki tetapi terpaksa menarik diri atas nasihat pakar perubatan bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.

”Beliau mungkin telah menyumbangkan satu atau dua pingat emas jika berada pada keadaan baik tetapi tidak dapat beraksi kerana masalah kesihatan. Kita akan terus memantau kesihatannya,” kata Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, Prabudass kini berada dalam keadaan sihat serta stabil dan pihaknya bersedia untuk menghantar atlet itu pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

”Pada awalnya dia mengadu ada masalah kesihatan selepas menerima rawatan daripada pakar Institut Sukan Negara (ISN) dan hospital pakar di Vietnam juga telah dirujuk untuk rawatan.

”Walaupun beliau stabil, kita tidak mahu mengambil risiko, selain pihak ISN, pakar perubatan Vietnam juga menasihatkan agar tidak bertanding. Kita terima hakikat, selepas ni dia tahu lah nak buat apa,” katanya.

Prabudass mempunyai catatan semusim terbaik 3:54.23s bagi acara 1,500m pada April lalu mengatasi catatan Luong Duc Phuoc (3:54.37) dari Vietnam untuk meraih emas Sukan SEA kali ini.

Bagi acara 5,000m, beliau pernah merekodkan catatan terbaik peribadi 14:33.10s di Jepun pada Mei 2019, yang turut mengatasi masa wakil tuan rumah Nguyen Van Lai (16:34.10) bagi merangkul emas. Namun catatan terbaik musim ini adalah 14:44.45s yang dilakukan ketika Terbuka Malaysia Mac lalu.

Prabudass juga merupakan pemegang rekod kebangsaan acara separuh maraton dengan catatan 01:07:00s yang dicatatkan di Sapporo, Jepun pada Mei 2021. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!