Pekan Kukup kembali meriah
PONTIAN - Peniaga-peniaga di Pekan Kukup menarik nafas lega selepas Terminal Feri Antarabangsa Kukup kembali beroperasi pada Khamis.
Menurut Salbiah Harun, 60, Pekan Kukup sebelum ini sunyi akan kembali meriah dengan kehadiran pelancong sekali gus merancakkan semula aktiviti ekonomi penduduk.
"Selepas terminal feri di Kukup ini kembali beroperasi, peniaga berharap keadaan ekonomi di kawasan ini juga berubah seperti sedia kala, tidaklah 'mati' seperti pekan koboi.
"Dengan adanya pengembara keluar masuk melalui laluan terminal feri, kedai-kedai berhampiran akan kembali dibuka dan banyak orang luar kembali melalui kawasan ini, " katanya yang sudah 20 tahun berniaga di Medan Selera Pekan Kukup.
Peniaga, Nurul Jannah Abd Malik, 28, pula berharap pendapatan peniaga akan meningkat dengan pembukaan terminal feri di Kukup.
"Dalam tempoh dua tahun lalu, kami berniaga secara sederhana sahaja.
"Dengan hidup semula terminal feri di Kukup ini, lebih rancak orang luar datang ke kawasan ini dan berbelanja sebelum menaiki feri ke Tanjung Balai Karimun, Indonesia," katanya.
Pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Azlan berkata, pembukaan semula terminal feri turut memberi kelegaan kepada pemandu teksi dan kereta sewa di Kukup.
"Sebelum pintu sempadan antarabangsa ditutup, boleh dikatakan terminal feri ini menjadi lubuk rezeki buat pemandu teksi menunggu kehadiran penumpang untuk dihantar ke destinasi yang ingin dituju," katanya.
Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pengoperasian semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup merupakan titik permulaan kepada lebih banyak terminal feri akan dibuka.
"Antaranya terminal feri di Batu Pahat dan Muar, Terminal Feri Puteri Harbour dan terminal feri di Desaru sekali gus merancakkan kembali ekonomi negeri selepas pembukaan sempadan," katanya ketika sidang akhbar selepas menyambut ketibaan lebih 100 penumpang feri dari Tanjung Balai Indonesia yang tiba kira-kira jam 11.30 pagi di Terminal Feri Antarabangsa Kukup pada Khamis.
Hadir sama, Atase Pengangkutan Indonesia, Kapten Supendi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefriddin Atan.
Terminal Feri Antarabangsa Kukup bakal beroperasi semula dengan lima slot sehari yang dikendalikan oleh operator feri sedia ada melibatkan perjalanan ke Tanjung Balai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!