'Terima kasih MSN'
PENEMBAK handalan negara, Johnathan Wong mendedikasikan kejayaannya meraih pingat emas acara 10 meter (m) air pistol lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 kepada Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurut Johnathan, MSN telah banyak membantu dalam mempersiapkan kontinjen negara bagi mengharungi temasya edisi ke-31 kali ini, selain keluarga, jurulatih dan persatuan.
“Pihak MSN banyak membantu dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada para atlet dalam situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
“MSN berusaha memberikan yang terbaik dalam memastikan setiap atlet dapat menghasilkan keputusan positif pada Sukan SEA kali ini walaupun banyak kekurangan tapi itulah yang terbaik untuk persiapan kontinjen negara.
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang telah banyak membantu. Saya amat bersyukur dengan kejayaan memenangi pingat emas hari ini,” katanya.
Johnathan menggunakan sepenuh pengalaman beraksi dalam lima edisi Sukan SEA sebelum ini untuk merampas kembali emas 10m air pistol selepas mengungguli aksi akhir di Pusat Latihan Sukan Nasional, Hanoi pada Khamis.
Atlet yang beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 itu meraih 238.6 mata keseluruhan meninggalkan pesaingnya dari Vietnam, Cuong Tran Quoc (236.6) dan atlet Indonesia, Muhammad Iqbal Raia Prabowo (214.2 mata).
Pengurus skuad menembak negara, Hayati Shamsuri mengakui gembira dengan prestasi yang dipamerkan Johnathan dalam acara kegemarannya itu yang sememangnya diletakkan sandaran emas.
“Johnathan ternyata berjaya melaksanakan segala yang dirancang dalam sesi latihan dan persiapan fasa akhir sebelum ke Hanoi 2021 dengan sempurna pada kali ini.
“Markah yang diraih Johnathan semasa pusingan kelayakan sebelum ini merupakan strategik pasukan untuk mengaburi pasukan tuan rumah, sekali gus membolehkan kita peak pada final kali ini,” jelasnya.
Kejayaan dilakar pemenang pingat emas edisi Kuala Lumpur 2017 itu sekali gus menebus kekecewaannya semasa Sukan SEA 2019 Manila yang menyaksikan dia menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!