Syed Saddiq akui UMNO lebih banyak berubah daripada pembangkang

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan kekhuatirannya terhadap keengganan pembangkang untuk melakukan perubahan meskipun menghadapi kekalahan beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, musuh terbesar blok pembangkang ketika ini adalah dirinya sendiri yang dilihat terlalu selesa untuk berubah.

“Kita (pembangkang) berasa selesa walaupun kalah dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya. Malah, UMNO sedang lebih banyak berubah daripada kita. Saya tidak fikir orang ramai menyedari ini.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, UMNO meletakkan lebih ramai ahli politik muda. Di Johor juga mereka melakukannya. Mereka lebih sanggup mengubah kepimpinan mereka lebih daripada kita. Lihat berapa kerap mereka mengubah pemimpin negeri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada sesi perbincangan dalam forum buku tulisan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, 'Parliament, Unexpected' yang diadakan di Dewan Konvensyen SOGO KL di sini, pada Khamis.

Syed Saddiq berkata, adalah menjadi kesilapan besar sekiranya pembangkang hanya sekadar menjadi pihak yang membawa mesej perubahan tetapi sebaliknya tidak lagi mampu melaksanakannya.

Katanya, keengganan pembangkang untuk berubah hanya akan menyumbang kepada kekalahannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!