'Kes buli jarang berlaku di hospital luar negara'

Buli boleh mengundang bahaya dari segi keselamatan pesakit dan doktor. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Khairy)
Buli boleh mengundang bahaya dari segi keselamatan pesakit dan doktor. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Khairy)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ada, namun amat jarang berlaku. Demikian akui Dr Muhammad Izzudin Badaruddin, seorang doktor warga Malaysia di sebuah hospital di United Kingdom (UK) mengenai kejadian buli doktor pelatih di negara berkenaan.

"Saya bernasib baik kerana diberi peluang merasa pengalaman menjadi doktor junior di Malaysia serta di UK dan secara jujurnya (saya) tidak menafikan isu buli di hospital ada di UK tetapi sangat jarang berlaku,” kongsinya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut doktor pelatih kepakaran perubatan am di NHS Barnsley Hospital itu, beliau bagaimanapun tidak pernah dibuli semasa menjalani housemanship (HO) selama enam bulan di Malaysia pada 2018 sebelum menyambung latihannya di UK pada tahun sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, budaya kerja di hospital di UK juga jauh berbeza dengan di Malaysia, di mana kesemua doktor dilayan secara adil dan tidak wujud unsur kekananan atau seniority, perkauman mahupun gender di negara tersebut.

"Kami hanya memanggil satu sama lain dengan nama pertama, tiada gelaran doktor, bos atau sebagainya dan biasanya hanya doktor pakar sahaja yang akan dipanggil doktor atau Mister (Mr) tetapi itupun mereka selalu berkeras agar dipanggil dengan nama pertama sahaja,” kongsi beliau.

Peluang kerjaya lebih cerah

Bercerita pengalamannya selama enam bulan di hospital Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Muhammad Izzudin berkata, pemerhatiannya mendapati aspek kekananan amat penting di hospital Malaysia menyebabkan peluang untuk mara dalam kerjaya agak terhad.

Itu antara faktor beliau memilih keluar daripada perkhidmatan KKM dan berhijrah ke UK yang menawarkan peluang lebih luas untuk menjadi doktor pakar.

Selain itu katanya, doktor pelatih juga diberi peluang berkongsi pandangan dan masalah yang diajukan kepada pihak atasan pula diambil peduli secepat mungkin.

Kes tidak ditutup semata-mata kerana ingin menjaga nama baik sesebuah jabatan atau hospital, ujar beliau, menambah setiap doktor junior akan dipantau oleh seorang penyelia klinikal dan penyelia pendidikan yang akan membantu dari segi pekerjaan serta kebajikan.

"Walaupun di UK tiada jawatankuasa khas untuk memantau kes buli, doktor junior boleh menyuarakan isu tersebut kepada penyelia atau pihak atasan sehingga masalah selesai, dan sekiranya tidak selesai juga di peringkat jabatan mahupun hospital, mereka digalakkan menghubungi badan profesional yang dipanggil British Medical Association (Persatuan Perubatan Britain - BMA).

"Badan ini bertanggungjawab menjaga kebajikan doktor di UK merangkumi semua aspek termasuk buli,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr Muhammad Izzudin tidak menafikan ada rakan-rakan sejawatnya di Malaysia yang mengadu masalah yang dihadapi oleh mereka semasa menjalani HO di hospital KKM termasuk beban kerja yang melampau.

Waktu kerja panjang

"Saya lihat rakan seperjuangan di Malaysia terlampau tertekan akibat kerja sehingga hilang berat badan kerana tidak sempat atau tidak lalu makan dan ini tidak termasuk mereka yang berjaya menyembunyikan tekanan perasaan akibat beban kerja.

"Saya tidak nafikan pekerjaan lain juga mempunyai tekanan tetapi apa yang saya suarakan ini adalah tentang ‘unnecessary stress’ atau punca tekanan yang tidak perlu seperti pengagihan tugas yang tidak adil,” katanya.

Dua bulan lepas, Hartal Doktor Kontrak melaporkan dapatan tinjauannya membabitkan 150 doktor pelatih di seluruh negara, yang mana 60 peratus daripada mereka mengaku menghadapi tekanan akibat selalu dibuli oleh doktor senior.

Kira-kira 20 peratus daripada jumlah itu pula dilaporkan sangat tertekan sehingga perlu mendapatkan kaunseling daripada pakar psikologi.

Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) percaya isu buli yang dikatakan berleluasa itu berpunca daripada ketiadaan garis panduan rasmi dalam melatih doktor pelatih.

Ditanya mengenai dakwaan waktu kerja yang panjang adalah perlu bagi membentuk kekentalan dan kemahiran seorang pegawai perubatan, Dr Muhammad Izzudin berkata, sistem serupa pernah dilaksanakan oleh hospital di UK, namun kini institusi itu mempraktikkan sistem baharu iaitu shift on call.

"Satu ketika dahulu UK mempunyai sistem on call yang lebih kurang sama dengan Malaysia yang mana doktor pelatih perlu dalam keadaan on call (bersedia dipanggil bertugas) hingga 24 jam atau lebih, sehinggakan ada doktor senior di UK pernah tidur di hospital selama tiga hingga empat malam seminggu.

"Tetapi, UK sudah beralih ke sistem 'shift on call' yang mana doktor boleh menjalani 'on call' untuk dua hingga empat hari/malam berturut-turut tetapi setiap syif maksimum hanya selama 12 jam,” katanya.

Difahamkan ada hospital di Malaysia sudah melaksanakan sistem 'shift on call' seperti di UK namun amalannya tidak meluas. Malah, dikatakan masih ada sesetengah hospital yang mengamalkan sistem 'on call' selama 24 hingga 36 jam bagi setiap syif.

Kaji semula

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Izzudin berkata, perbezaan jumlah waktu bekerja di antara Malaysia dan UK atau Eropah amnya sangat ketara, iaitu jumlah jam bekerja di UK dan Eropah hanya 40 jam seminggu berbanding minimum 75 jam di Malaysia bagi doktor junior.

"Bagi saya ini merupakan amalan yang boleh mengundang bahaya dari segi keselamatan pesakit dan doktor. Kita dapat lihat banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan doktor junior akibat penat dan mengalami microsleep ketika memandu selepas habis on call.

"Penat keterlaluan boleh mengakibatkan emosi terganggu dan bagi sesetengahnya mungkin berisiko mempengaruhi cara mereka berkomunikasi dengan rakan sekerja sekali gus menyebabkan rantaian ini tidak akan terputus jika semua bekerja dalam keadaan penuh emosi dan terlalu penat,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan data KKM merekodkan 554 kes kemalangan membabitkan profesional perubatan dalam perjalanan ulang-alik ke tempat kerja bagi tempoh 2014 hingga 2016.

Sehubungan itu, beliau berpandangan ada keperluan untuk KKM mengurangkan jumlah waktu bekerja atau on call bagi pegawai perubatan selain menambah bilangan petugas untuk menampung peningkatan jumlah pesakit.

"Mungkin perlu diwujudkan agensi lokum (bekerja di klinik selain hospital) atau lokum dalaman di peringkat hospital itu sendiri, iaitu jika ada kekurangan staf, kita boleh membayar mana-mana doktor luar yang berminat pada kadar lokum.

"Itu yang dipraktikkan di UK dan ini sedikit-sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja yang bertambah akibat ada yang cuti sakit dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini serta dakwaan budaya buli di hospital KKM, sangat tepat dalam menangani budaya tidak sihat di hospital kerajaan.

Kehilangan sumber

Pakar psikiatri melihat dakwaan buli membabitkan doktor pelatih tidak boleh diambil mudah memandangkan tugas sebagai pegawai perubatan amat kritikal kerana melibatkan nyawa pesakit.

Menurut Profesor Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, doktor pelatih yang bekerja dalam keadaan tertekan berisiko membahayakan nyawa pesakit kerana mereka tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik disebabkan gagal memberi sepenuh tumpuan kepada masalah kesihatan yang dihadapi pesakit.

"Perlakuan buli yang berakar umbi di sesebuah organisasi seperti sektor kesihatan berisiko mengakibatkan mangsa ‘burnout’ dan menjejaskan emosi mereka sehingga ada yang mengalami penyakit mental seperti kemurungan serius.

"Seseorang yang mengalami kemurungan serius, jika tidak ditangani atau dirawat dengan berkesan, ditambah lagi apabila berterusan dibuli, berisiko kepada perlakuan bunuh diri,” kata pakar perunding kanan psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya itu.

Selain kemurungan, beliau berkata, mangsa juga boleh mendapat masalah kerisauan serius, kecelaruan pascatrauma (PTSD), kecelaruan panik dan juga kecelaruan kerisauan sosial.

Justeru kata beliau, budaya toksik itu perlu ditangani segera, antaranya mewujudkan sistem aduan bebas bagi membolehkan doktor pelatih yang menjadi mangsa buli membuat aduan memandangkan ada yang enggan tampil kerana takut tindakan mereka akan mempengaruhi penilaian kompetensi.

Pandangan tersebut turut dipersetujui oleh Presiden MSOSH Dr Shawaludin Husin yang berpendapat masalah berkenaan perlu ditangani segera bagi mengelakkan ketirisan tenaga kerja pada masa akan datang.

"Sekiranya institusi perubatan tidak berubah, tidak mahu menangani budaya buli, kita bimbang suatu hari nanti negara akan kehilangan sumber disebabkan tiada yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang itu.

"Atau, mereka lebih berminat belajar kedoktoran dan bekerja di luar negara, di mana budaya toksik begini tidak berlaku di negara maju. Sekarang kita memang banyak sumber tetapi tidak mustahil negara akan kehilangan tenaga pelapis disebabkan masalah berkenaan dan ini merupakan satu kerugian,” ujarnya.

- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!