KPDNHEP rampas barangan tiruan bernilai lebih RM34,000
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas pakaian dan beg tiruan bernilai RM34,430 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Cempaka di sini pada Khamis.
Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, risikan mendapati rumah teres satu tingkat itu disyaki dijadikan stor penyimpanan dan membungkus barangan tiruan berjenama terkenal.
"Pasukan pemeriksaan bertindak menyita sebanyak 1,147 helai pakaian yang terdiri dari seluar dan beg berjenama terkenal pelbagai saiz dan warna.
"Kesemua barang yang disita tersebut disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengaku sebagai penilik premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.
"Lelaki terbabit ditahan sementara untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah," katanya.
Saifullizan berkata, KPDNHEP memandang serius dalam melindungi hak-hak pemilik cap dagang.
"Operasi dijalankan melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama.
"Ia bagi membanteras penjualan barang-barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!