Kempen Jom Auto Labur catat 21,546 transaksi

Mohammad (tiga dari kiri) bersama pemenang utama Kempen Jom Auto Labur dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Khamis.
Mohammad (tiga dari kiri) bersama pemenang utama Kempen Jom Auto Labur dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Jom Auto Labur pada 2021 anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatatkan 21,546 transaksi dengan potongan berjumlah RM4.29 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, Kempen Jom Auto Labur kali keempat itu diadakan bermula 1 September hingga 21 Disember 2021 dan ASNB menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM150,000 kepada 563 pemenang.

Menurutnya, sehingga April 2022, potongan bulanan Auto Labur berjumlah RM157.84 juta sejak diperkenalkan pada 2019.

"ASNB amat berpuas hati melihat kesungguhan para pelabur untuk terus melabur meskipun ramai yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Kami amat menghargai keyakinan mereka terhadap ASNB," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, berikutan sambutan menggalakkan, ASNB meneruskan Kempen Jom Auto Labur bagi 2022 bermula pada 1 April lalu dan akan berlangsung sehinga 30 Jun depan dengan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM200,000.

Maklumat lanjut berkenaan Kempen Jom Auto Labur, boleh didapati di www.myasnb.com.my dan di laman sosial media rasmi ASNB.

Sementara itu, ASNB telah meraikan pemenang utama kempen itu dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Khamis.

Pemenang hadiah pertama Kempen Jom Auto Labur ialah Mohd Ridzuan Uzdik dari Dungun, Terengganu yang memenangi sebuah motosikal Y15ZR dan dua pemenang di tempat kedua berjaya membawa pulang Apple iPhone 13 Pro 128GB iaitu Ibtisam Azwani Mat Ya’acob dari Sungai Buloh, Selangor dan Mohd Khazami Bakri dari Batu Caves,Selangor.

Seramai lima pemenang tempat ketiga berjaya membawa pulang Apple IPad Pro 128GB iaitu Syahril Izwan Alias dari Kajang; Selangor, Nurul Hafiza Saida Mohd Ramdzan dari Ulu Tiram, Johor; Rosnizam Ahmad dari Alor Setar, Kedah; Wan Zawiah Wan Abu Bakar dari Kajang Selangor; dan Zara Zulaikha Safuddin dari Pulau Indah, Selangor.

Dalam majlis itu, ASNB turut mengumumkan seramai 55 pemenang hadiah saguhati berupa unit-unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM500 setiap seorang, 300 pemenang bulanan (75 pemenang setiap bulan) yang memenangi unit-unit ASB bernilai RM200 setiap seorang dan 200 pemenang hadiah bonus (50 pemenang setiap bulan) berupa unit-unit ASB bernilai RM100 setiap seorang.

Bagi pemenang hadiah utama, Mohd Ridzuan berkata, Kempen Auto Labur adalah sesuatu yang baik terutamanya pada zaman pandemik ini dan memilih ASNB kerana ia terbukti selamat terutamanya dalam menawarkan pulangan yang baik.

"Ia telah memudahkan urusan pelaburan tanpa memerlukan saya untuk keluar dan menjimatkan masa. Saya dan rakan sepejabat turut sama melabur dalam pelaburan yang ditawarkan oleh ASNB," katanya.

Kemudahan Auto Labur di platform myASNB memanfaatkan perkhidmatan Direct Debit oleh PayNet untuk memudahkan pelabur membuat pelaburan berkala secara automatik untuk akaun unit amanah mereka sendiri, akaun minor (Akaun Bijak/Remaja) dan pihak ketiga yang layak.

Diperkenalkan buat pertama kali pada 2019, Auto Labur membantu para pelabur melabur secara konsisten mengikut kemampuan kewangan masing-masing melalui potongan terus daripada akaun bank mereka tanpa sebarang caj.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!