Setiap negeri ada rancangan tangani isu tanah pertanian terbiar
SERDANG - Setiap negeri ada perancangan tersendiri dalam menangani isu tanah berstatus pertanian yang terbiar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bagaimanapun, ia perlu kerjasama daripada semua pihak untuk menggunakan tanah tersebut bagi tujuan pertanian.
“Isu tanah terbiar ada di seluruh negara bahkan di setiap negeri dan setiap negeri itu ada perancangan masing-masing.
“Tetapi apa yang kita harapkan pihak pada ketika ini untuk mempergunakan tanah-tanah ini supaya dapat dimanfaatkan,” katanya dalam sidang media Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022 di Auditorium Rashdan Baba Universiti Putra Malaysia, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dan Dekan Fakulti Pertanian merangkap Pengarah Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022, Profesor Madya Dr Nur Azura Adam.
Sebelum ini, setakat tahun 2019, lebih 100,000 hektar tanah yang berstatus pertanian di seluruh negara adalah terbiar.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai bantuan dan program untuk menarik minat masyarakat dalam pertanian khususnya anak muda.
Ujarnya, justeru mereka perlu jadikan ia satu cabaran anak muda untuk jadikan pertanian sebagai usaha pendapatan.
“Sebagai contoh kita ada agropreneur muda untuk tarik minat bukan sahaja petani tetapi pemuda, bahkan golongan pelajar untuk memainkan peranan masing-masing mengikut sektor tertentu.
“Jadi kita nak mereka ini gunakan tanah terbiar dan dapat menyahut cabaran bahawa sebenarnya pertanian ini satu usaha yang boleh menjana pendapatan yang meyakinkan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!