Kejatuhan ringgit tidak pengaruhi sektor pelancongan
KUALA NERUS - Kejatuhan ringgit tidak menjejaskan sektor pelancongan kerana ia dilihat tidak mempengaruhi mobiliti pelancong untuk bercuti di lokasi-lokasi menarik di dalam negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan pemerhatian, kebanyakan bilik hotel di seluruh negara menerima peningkatan tempahan malah ada yang sudah penuh terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.
"Setakat ini dari segi mobiliti pelancong belum menunjukkan kesan bahawa ia menghalang pelancong untuk bergerak.
"Kita akui kejatuhan nilai ringgit memberi impak terhadap kenaikan harga barang, namun setakat ini ia tidak memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan," katanya pada sidang akhbar pada acara Rewang Raya sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Kampung Seberang Takir di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman.
Dalam pada itu, Nancy berkata, kelonggaran yang kini diberikan dalam fasa endemik menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa bercuti di seluruh negara.
"Sebab itu kita di MOTAC juga memberi subsidi antaranya diskaun baucar hotel, penerbangan, pengangkutan darat, spa dan semua berkaitan pelancongan bagi mengurangkan beban dan menggalakkan terutama sekali pelancong domestik untuk bergerak ke seluruh negara," katanya.
Dalam pada itu, Nancy menyarankan agar orang ramai bijak memilih pakej pelancongan yang ditawarkan agar tidak mudah ditipu oleh penggiat pelancongan yang mengambil kesempatan menaikkan harga.
"Penggiat pelancongan diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan daripada pelancong kerana kita sama-sama mempunyai satu misi iaitu mahu Malaysia lebih maju sudut ekonomi. Jadi sama-sama kita membantu antara satu sama lain.
"Agak sukar untuk kita mengawal sekiranya ada yang mengambil kesempatan, namun kita minta kebijaksanaan pelancong sendiri untuk menilai dan mereka boleh melihat sendiri perbandingan secara dalam talian (online) untuk memilih harga yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, sasaran awal kedatangan pelancong asing sebanyak dua juta pada tahun ini dijangka boleh dicapai dengan mudah.
Jelas beliau, kelonggaran prosedur operasj standard (SOP) seperti tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan kaurantin wajib menjadi pemangkin dan daya menarik lebih ramai pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini.
Laporan pada Khamis menujukkan ringgit meneruskan penurunan untuk dibuka lebih rendah pada RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!