KPKK, MOF bincang kurangkan cukai eksport minyak sawit
KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) akan tetap meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk kemungkinan mengurangkan cukai eksport minyak sawit Malaysia kepada di antara 4.0 dengan 6.0 peratus daripada 8.0 peratus.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini memandangkan situasi penarikan semula larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia masih terlalu awal untuk dilihat kesan penawaran dan permintaan ke atas industri minyak sawit Malaysia.
Beliau berkata, perbincangan itu juga akan melibatkan cadangan melambatkan pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia untuk membantu memenuhi permintaan global di tengah-tengah kekurangan minyak makan.
"Cadangan pemotongan sementara (cukai eksport minyak sawit) ini masih dalam peringkat awal perbincangan dan keputusannya tertakluk kepada MOF.
"Namun begitu, KPKK menggesa pemain industri untuk menumpukan perhatian kepada pemboleh ubah pasaran yang mampu mencetuskan ketidaktentuan harga,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, antara pemboleh ubah itu ialah dasar eksport Indonesia, pemulihan pengeluaran minyak sawit di Malaysia, pelarasan dasar biodiesel di pelbagai negara, perkembangan konflik Rusia-Ukraine serta cuaca di Amerika Syarikat dan Amerika Selatan.
"KPKK akan terus memantau situasi terkini melibatkan perubahan dasar Indonesia dan seterusnya memastikan industri sawit yang merupakan komoditi utama Malaysia terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus memberi manfaat kepada semua terutama pekebun kecil dan peserta industri," katanya.
Zuraida berkata, walaupun inventori minyak sawit meningkat buat kali pertama sejak Oktober 2021 sebanyak 11.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.64 juta tan pada April 2022, didorong oleh pengeluaran lebih tinggi (+3.6 peratus kepada 1.46 juta tan) serta eksport yang lebih lemah (-17.7 peratus kepada 1.06 juta tan), ia tidak sepatutnya membimbangkan.
"Ini kerana stok bekalan minyak sawit berkemungkinan merosot pada Mei 2022 susulan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah berpunca dari bulan Ramadan di samping eksport lebih kukuh (didorong langkah kerajaan Indonesia meluaskan larangan eksport ke atas bahan mentah untuk minyak masak baru-baru ini)," katanya.
Pada Jumaat, Indonesia mengumumkan penarikan balik larangan eksport minyak sawit mulai 23 Mei (Isnin) memandangkan situasi bekalan minyak masak domestiknya telah bertambah baik selain Jakarta mempertimbangkan kebajikan 17 juta pekerja dalam industri minyak sawitnya.
Tambah beliau, setakat ini harga MSM adalah pada purata RM6,300 sati tan, satu kadar yang jauh lebih tinggi daripada purata RM4,300 satu tan seperti yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran bagi 2022.
"Harga MSM berkemungkinan turun disebabkan aliran naik yang belum selesai dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB),” katanya.
Beliau memberitahu, bagaimanapun harga MSM sepatutnya kekal tinggi disebabkan isu bekalan, permintaan stabil, permintaan dari China susulan pembukaan semula ekonominya secara beransur-ansur daripada kesan pandemik, kenaikan harga minyak mentah akibat krisis Rusia-Ukraine. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!