Twitter umum dasar baharu elak penyebaran maklumat salah

Twitter pada Khamis mengumumkan dasar global baharu untuk menangani penyebaran maklumat tidak benar.
Twitter pada Khamis mengumumkan dasar global baharu untuk menangani penyebaran maklumat tidak benar.
A
A
A

WASHINGTON - Twitter pada Khamis mengumumkan dasar global baharu untuk menangani penyebaran maklumat yang salah atau tidak benar semasa situasi krisis, lapor Sputnik.

"Hari ini, kami memperkenalkan dasar mengenai salah maklumat ketika krisis - dasar global yang akan membimbing usaha kami untuk meningkatkan maklumat yang boleh dipercayai, berwibawa, dan akan membantu memastikan maklumat salah tidak disebarkan atau disiarkan oleh kami semasa krisis," kata Twitter.

Pendekatan baharu itu akan membantu memperlahankan penyebaran kandungan yang paling ketara dan mengelirukan, terutamanya yang menjurus kepada bahaya.

Syarikat media sosial itu menjelaskan ia mungkin menambah notis amaran pada siaran, termasuk yang mengandungi: gambaran palsu mengenai konflik; dakwaan palsu berkenaan penggunaan kekerasan atau pencerobohan kedaulatan wilayah; dakwaan palsu tentang jenayah perang atau kekejaman besar-besaran terhadap populasi tertentu; dan maklumat palsu berkenaan tindak balas masyarakat antarabangsa, sekatan, tindakan pertahanan atau operasi kemanusiaan.

Ulasan yang kukuh, usaha untuk membongkar atau menyemak fakta dan anekdot peribadi atau maklumat orang pertama tidak termasuk dalam skop dasar baharu itu, kata Twitter.

Ciapan yang melanggar dasar akan diletakkan notis amaran yang memberitahu pembaca bahawa kandungan itu mungkin palsu atau mengelirukan, tambah Twitter. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!