Proses tangani harga barang naik masih perlahan: Muhyiddin
MUAR - Kerajaan perlu berani untuk merancakkan proses pemulihan negara yang turut membabitkan isu kenaikan harga barang makanan ketika ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses berkenaan didapati masih perlahan walaupun Malaysia memiliki sumber pertanian yang besar dan berupaya untuk dikembangkan.
"Kita kena ambil satu langkah lebih berani menggunakan teknologi moden dan cari pelabur walaupun pelabur asing.
"Bagi saya mungkin kita boleh longgarkan syarat kepada pelabur asing datang meneroka sektor industri pertanian dan makanan selain membawa teknologi baharu bagi menghasilkan pengeluaran pertanian lebih banyak dan berkualiti. Ini satu isu besar.
"Sekarang ini sudah ada (pemulihan) tetapi belum cukup pantas dan banyak kekangan dihadapi pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan serta sosial," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, pada Jumaat.
Katanya, jika kerajaan tidak beri perhatian mengenai cadangan MPN, proses pemulihan itu dijangka tidak berlangsung dalam tempoh singkat dan seterusnya memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, MPN akan melantik konsultan bagi membantu menyediakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 untuk merangka pelan jangka pendek dan panjang dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi negara.
Sementara itu, beliau berkata, MPN menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan permit kelulusan (AP) barang makanan, namun perkara itu memerlukan kajian terperinci dari sudut implikasi.
Kata Muhyiddin, ini bagi memastikan langkah berkenaan tidak memberi impak negatif kepada sektor makanan dan pertanian negara.
"Tujuan asal AP ini adalah untuk melindungi pengeluar tempatan yang mana pengimport dibenarkan dengan kuota tertentu supaya tidak beri kesan negatif kepada pengusaha tempatan.
"Jadi walaupun dasar mansuh AP itu dilihat baik, tetapi kita nak tengok juga kesan kepada industri pertanian tempatan. Adakah kerajaan boleh beri bantuan lebih kepada sektor pertanian seperti subsidi dan pinjaman bank yang mudah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!