Pemandu lori maut dihempap pokok
PASIR GUDANG - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya dihempap pokok dalam satu kejadian di Jalan Sri Wangi 1/5, Kawasan Perindustrian Desa Plentong di sini pada Jumaat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Sufian Mohd Lis berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.25 petang.
Katanya, operasi menyelamat melibatkan 11 anggota dengan bantuan sebuah jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Setibanya di lokasi kejadian terdapat sebuah lori tiga tan dengan muatan barangan kimpalan telah dihempap sebatang pokok dengan ketinggian 20 kaki. Siasatan percaya kemalangan berlaku ketika pemandu sedang menyusuri laluan berkenaan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 40-an tersepit di tempat pemandu yang kemudiannya berjaya dikeluarkan selepas memotong pokok dan kenderaan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Sufian berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.53 petang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!