MB Johor menyamar jadi orang awam, naik bas ke Singapura
JOHOR BAHRU - Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat kejutan apabila bertindak menyamar sebagai orang awam untuk melihat dengan sendiri proses memasuki Singapura dari bandar raya ini, pada Jumaat.
Difahamkan, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu bertindak memasuki republik berkenaan menggunakan bas awam secara sendiri.
Perjalanan MB Johor itu dimaklumkan dengan menaiki bas dari Terminal Bas JB Sentral serta menggunakan kaedah pengembara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor).
Hari ini saya berada di JB Sentral, nak pergi ke Singapura naik bas, dan kembali semula (ke Johor Bahru) naik bas. Saya nak tengok sendiri keadaan dan servis di sini.
“Apa yang perlu dibuat penambahbaikan daripada segi perkhidmatan di sini, Insya-ALLAH,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasminya di sini, pada Jumaat.
Sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura telah dibuka sepenuhnya bermula 1 April lepas yang mana dilihat begitu memberi manfaat khususnya kepada pengguna perjalanan darat antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, menerusi hantaran di Facebooknya, Onn Hafiz selaku MB Johor yang baharu turut menggunakan pelbagai pendekatan berlainan untuk turun padang melihat sesuatu isu.
Ia juga adalah termasuk memandu sendirian di sekitar Bandar Raya Johor Bahru untuk melihat proses pembangunan yang dilaksanakan selain meninjau isu semasa berkaitan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!