Kedudukan keenam kontinjen Malaysia tarik perhatian menteri
KEDUDUKAN semasa kontinjen negara berada di tempat keenam pada Sukan SEA ke-31 yang sedang berlangsung di sini, menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar pencapaian itu diteliti dari pelbagai sudut.
Beliau berkata, semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), atlet dan persatuan sukan kebangsaan perlu mencari jalan supaya kedudukan itu dapat diperbaiki pada temasya sukan akan datang.
"Tentu sekali saya dan seluruh rakyat Malaysia rasa kecewa kerana kita tidak berada di kedudukan lebih tinggi. Kita tidak sepatutnya berpuas hati dengan kedudukan keenam pada Sukan SEA.
"Jadi saya doakan yang terbaik dan guna pengalaman diperoleh di Sukan SEA untuk perbaiki prestasi pada temasya sukan akan datang,” katanya ketika ditemui di Gimnasium Hoang Mai, venue bagi acara sepak takraw Sukan SEA ke-31 di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Ahmad Faizal mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader dari Singapura, yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).
Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan keenam dalam carta kutipan pingat dengan meraih 36 emas, 40 perak dan 77 gangsa dengan berbaki tiga hari sebelum temasya sukan itu melabuhkan tirai pada Isnin depan (23 Mei).Untuk rekod, Malaysia sering berada di kedudukan lima teratas dalam sukan dwitahunan itu kecuali sekali di tempat keenam pada edisi 1983 di Singapura.
Sementara itu, Ahmad Faizal memuji prestasi ditampilkan 40 peratus atlet bawah 21 tahun negara pada temasya sukan tersebut dan percaya mereka mampu menyerlah pada kejohanan antarabangsa akan datang.
Beliau berharap semua atlet berkenaan termasuk lebih separuh pertama kali menyertai Sukan SEA dapat menimba pengalaman untuk mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan lebih kompetitif seperti Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Julai depan, dan Sukan Asia Hangzhou 2022 yang ditangguhkan baru-baru ini.
"Sukan SEA ini platform untuk mereka pergi lebih jauh. Pendedahan di Sukan SEA penting untuk kita capai lebih banyak kejayaan pada temasya sukan seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.
Hampir 58 peratus atau 338 daripada 584 atlet Malaysia adalah mereka yang kali pertama menyertai temasya sukan dwitahunan itu untuk mendapatkan pendedahan sulung di peringkat antarabangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!