Wanita buat laporan palsu konon kena samun
BENTONG - Seorang wanita dikesan membuat laporan palsu dengan mendakwa disamun oleh seorang lelaki, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, wanita tempatan berusia 28 tahun itu datang ke balai polis untuk membuat laporan mendakwa dirinya disamun, kira-kira jam 8 pagi, pada Khamis.
"Wanita itu mendakwa disamun oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah gerai menghala ke Desa Permai, Bentong ketika pulang selepas menghantar anaknya ke sekolah.
"Dakwanya lagi, dia ditahan oleh seorang lelaki dan mengambil wang RM380 miliknya. Polis merakam keterangan wanita itu untuk tujuan siasatan namun ada keraguan terhadap keterangan diberikan oleh wanita itu malah tidak ada sebarang petunjuk," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurut Zaiham, wanita itu datang semula ke balai polis sekitar jam 7 malam pada hari sama untuk menarik laporan polis.
“Wanita tersebut kemudian disoal siasat semula oleh pegawai penyiasat berikutan mahu menarik laporan polis dan dia mengaku mereka cerita telah disamun. Sebenarnya dia telah menggunakan duit rakannya," katanya lagi.
Berikutan tindakan wanita itu polis membuat laporan polis terhadapnya kerana membuat laporan palsu dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!