Isu bekalan ayam tiada, sampai bila?

Isu kekurangan ayam segar di pasaran masih lagi membelenggu rakyat Malaysia terutamanya kepada penjual dan pengguna. Gambar hiasan 123RF.
Isu kekurangan ayam segar di pasaran masih lagi membelenggu rakyat Malaysia terutamanya kepada penjual dan pengguna. Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

ISU kekurangan ayam segar di pasaran masih lagi membelenggu rakyat Malaysia terutamanya kepada penjual dan pengguna.

Pada Jumaat, tular di media sosial dakwaan 'Selangor tiada ayam' yang memetik sumber dari Pasar Borong Selangor pada Sabtu.

Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) kemudian ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang pada Sabtu.

Pengerusinya, Idrus Zainal Abidin berkata, permasalahan bekalan tersebut disebabkan ayam-ayam ternakannya sakit.

Katanya, ribuan anak ayam dari rebannya mati disebabkan sakit dan masalah sama turut dihadapi oleh kebanyakan penternak di Selangor.

Sekiranya ada pun ayam daripada penternak lain, kemungkinan bekalan hanya boleh didapati dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

Ketiadaan bekalan ayam yang merupakan antara bahan makanan dengan sumber protein yang paling digemari rakyat Malaysia itu pastinya akan menimbulkan keresahan rakyat.

Apatah lagi, masih berada di musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, pasti sudah ramai yang merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada hujung minggu.

Juadah ayam pula adalah antara menu wajib di setiap rumah terbuka, justeru tidak mustahil situasi itu akan menimbulkan suasana panik dan sesak di pasar-pasar.

Isu bekalan ayam bukan hanya dihadapi di Selangor, sebaliknya ramai penjual ayam di negeri-negeri lain turut mendakwa mereka tidak memperoleh bekalan ayam hidup sejak Selasa lalu kerana pembekal memaklumkan stok ayam tidak mencukupi.

Ada yang mendakwa kekurangan bekalan ayam berpunca daripada sekumpulan kartel industri ternakan ayam yang merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lewat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen?

Walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah menafikannya, difahamkan itu adalah strategi yang digunakan mereka bagi memboikot kerajaan.

Sampai bila rakyat perlu berdepan dengan situasi seperti ini tanpa ada jalan penyelesaian yang tuntas?

Diharapkan, kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan pihak terlibat dapat mencari solusi terbaik dalam menangani isu bekalan dan harga ayam mentah di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!