[VIDEO] Murid lelaki dicabul, cuba diliwat pengawal keselamatan sekolah

Gambar kecil: Supt Wan Zulfikri
Gambar kecil: Supt Wan Zulfikri
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang murid lelaki berusia 12 tahun dipercayai dicabul dan cuba diliwat oleh seorang pegawal keselamatan di surau sebuah sekolah rendah agama pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.15 pagi ketika mangsa sedang tidur bersama rakan di dalam surau sekolah berkenaan.

Katanya, kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perlakuan suspek lelaki tersebut kepada ibu bapanya yang datang ke sekolah berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian mangsa dicabul dan cuba diliwat tersebut berlaku di surau sekolah ketika mangsa tidur bersama rakan di surau itu.

“Pada malam tersebut juga mangsa terlibat dengan program qiamullail,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Katanya, mangsa memberitahu kejadian cabul dan cubaan liwat itu kepada ibu bapanya ketika dijemput di sekolah tersebut pada jam 10.15 pagi hari sama.

“Mangsa dibawa oleh ibu bapa membuat laporan polis dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut.

“Susulan daripada itu, pengawal keselamatan yang berusia 38 tahun tersebut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, suspek dibawa ke Mahkamah Tanah Merah pada Sabtu untuk mendapatkan perintah reman.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!