City tak goyah amaran Gerrard

Guardiola. - Foto Getty Images
Guardiola. - Foto Getty Images
A
A
A

KESEBELASAN Manchester City diingatkan agar tidak terpengaruh dengan ‘amaran’ daripada pengendali Aston Villa, Steven Gerrard yang menegaskan bahawa skuad kendaliannya itu bakal beraksi di bawah tekanan di Etihad pada Ahad.

Malah menurut pengendali City, Pep Guardiola, kenyataan Gerrard itu sebenarnya bertujuan untuk ‘menutup’ rasa gentar termasuk tekanan dihadapinya bagi mengemudi Villa yang mengharungi aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Bagi saya, Gerrard sebenarnya mahu menutup rasa gementarnya sendiri menjelang perlawanan ini kerana dia tahu memang ‘sukar’ untuk beraksi di Etihad.

“Gentar? Tidak, kami tidak gentar untuk mengharungi perlawanan ini kerana ia sama sahaja seperti perlawanan lain ; jika kami ketinggalan, kami akan bangkit dan cuba menyamakan kedudukan dan sebagainya.

“Mungkin juga ada yang akan berkata, perlawanan kali ini penting kerana bakal mengesahkan juara EPL musim ini. Walau apa pun yang terjadi, ia hanyalah satu perlawanan bola sepak,” katanya.

Aksi City berdepan Villa pada Ahad ini dilihat penting bagi mengesahkan kejuaraan EPL musim ini dan skuad kendalian Guardiola itu dilihat memiliki kelebihan untuk melakukannya.

Dengan meraih 90 mata berbanding 89 mata dimiliki pencabar terdekat, Liverpool, skuad The Citizens itu diramal mengekaklan trofi EPL yang dimenangi musim lalu.

Mengulas lanjut, Guardiola berkata, kesemua pemain City turut diingatkan untuk memberikan aksi terbaik masing-masing pada aksi terakhir saingan liga itu.

Katanya, pemain sewajarnya memberikan penghargaan kepada penyokong yang selama ini memberikan sokongan tanpa jemu kepada pasukan.

“Saya mahu menyediakan pasukan ini dengan sebaik mungkin bagi mengharungi aksi terakhir musim ini.

“Kami juga mahu penyokong-penyokong berbangga dengan aksi yang dipamerkan pemain di sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!