Cabang Gombak sasar 5,000 ahli keluar mengundi
GOMBAK - Calon Ketua Cabang PKR Gombak, Farhash Wafa Salvador menyasarkan 5,000 ahli cabang itu akan keluar mengundi pada Sabtu.
Menurutnya, berlaku peningkatan mendadak pengundi berbanding pemilihan yang dijalankan sebelum ini dengan sekurang-kurangnya 2,100 ahli telah membuat undian secara dalam talian manakala 500 pengundi telah menunaikan tanggungjawab secara fizikal setakat jam 11 pagi.
"Jika lihat ketika zaman Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ahli yang keluar mengundi hanya ratus-ratus. Pada 2018, ada peningkatan, jumlahnya lebih 1,000 orang. Kali ini kita jangka jumlahnya mencecah 5,000 orang dan ke atas, " katanya selepas meninjau proses pemilihan cabang Gombak di Dewan Beringin Seri Gombak pada jam 10.50 pagi Sabtu.
Farhash memberikan saingan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi jawatan Ketua Cabang Gombak.
Beliau memberikan keyakinan mampu memberikan persaingan bagi jawatan itu berdasarkan sokongan yang diberikan khususnya daripada pengundi secara dalam talian.
"Saya yakin kerana majoriti pengundi dalam talian merupakan orang yang saya kumpulkan. Kalau hari ini saya dapat kumpulkan lagi 1,500 pengundi, kira boleh selesai (menang).
"Menang atau kalah bukan keutamaan yang penting jadikan Gombak sebagai cabang tertinggi yang keluar mengundi. Jika kalah saya akan terus berada di Gombak dan cuba pada pemilihan akan datang," ujarnya.
Beliau turut meminta mereka yang belum mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di Pusat Pemilihan Cabang Gombak di Dewan Beringin Seri Gombak yang dibuka hingga jam 5 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!