Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai langkah tambahan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syarat yang ditetapkan KKM bagi jemaah haji remaja mengambil dos penggalak Covid-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

"Bagi remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19 mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Khairy berkata, memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan vaksin lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum dan selepas vaksin lain diberikan.

Katanya, jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus tanpa janji temu (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji.

Menurut Khairy, sebelum ini KKM menyarankan semua bakal jemaah haji yang berusia 60 tahun dan ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah haji semasa berada di Tanah Suci dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji seluruh dunia.

Khairy berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas selain turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terutamanya di tempat-tempat sesak dan juga di dalam pengangkutan awam di negara tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!