4,000 peminat teruja bertemu Ong Seong Wu
PENYANYI dan pelakon dari Korea Selatan yang mula mencipta nama bersama kumpulan Wanna One, Ong Seong Wu, kembali ke Malaysia, Ahad lalu.
Namun bezanya kali ini, dia hadir sendirian bagi menjayakan acara Ong Seong Wu First Fan Meeting In Malaysia (Eternity) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Lebih daripada 4,000 penonton telah hadir pada perjumpaan pertama Seong Wu itu. Menariknya, penonton yang hadir bukan setakat peminat tempatan, malah peminat Seong Wu dari Amerika Syarikat, Australia dan Thailand turut hadir.
Seong Wu yang tampak kacak dengan busana denim itu memulakan acara dengan menunjukkan kebolehannya sebagai penari berbakat menerusi lagu Treasure, dendangan Bruno Mars.
Sebaik selesai menari, Seong Wu diberi sebuah tablet bagi membolehkannya berinteraksi dengan peminat-peminatnya. Untuk menjawab segala soalan daripada peminatnya, Seong Wu memilih tiga aplikasi iaitu OngTalk, OngStagram dan OngPlay.
Acara kemudian diteruskan dengan aksi Seong Wu menangkap bintang yang dipaparkan di skrin LED. Setiap bintang yang dipilih olehnya ada arahan yang perlu dilaksanakan.
Menariknya, setiap kali selesai satu segmen akan diadakan cabutan bertuah yang dibuat oleh Seong Wu berdasarkan tempat duduk penonton. Kesemua pemenang menerima hadiah yang menarik daripada penyanyi itu.
Pada acara tersebut, penyanyi berusia 23 tahun itu turut terharu apabila menerima klip video yang dihasilkan oleh peminat-peminat Malaysia. Sebagai menghargai sokongan peminat tempatan, dia kemudiannya mendendangkan lagu Love This Moment sebagai penutup tirai persembahan.
<
Untuk tidak menghampakan penonton, Seong Wu kemudiannya kembali semula ke pentas dengan diiringi oleh empat penari untuk menari. Biarpun persembahan telah berakhir namun penonton tidak berganjak kerana masing-masing mahu mengambil peluang untuk melakukan high five dengan penyanyi itu.
Acara pertemuan Seong Wu bersama peminat adalah anjuran Hatchery dan Kuala Lumpur merupakan destinasi kedua siri jelajah Ong Seong Wu di Asia selepas Bangkok yang mendapat sambutan hangat daripada peminat dan pada 6 April ini dia akan bertemu peminat di Singapura sebagai lokasi terakhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!