Pemilihan PKR: Pertembungan 'panas' dua selebriti di Ampang

Hans (kiri) dan Altimet turut hadir menyaksikan proses pengundian cabang berkenaan pada pagi Sabtu.
Hans (kiri) dan Altimet turut hadir menyaksikan proses pengundian cabang berkenaan pada pagi Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Meskipun Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang dianggap sebagai pertembungan ‘panas’ membabitkan dua selebriti namun proses pengundian berlangsung dengan teratur.

Perkara tersebut turut diakui oleh pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac dan penyanyi rap, Altimet yang turut hadir menyaksikan proses pengundian cabang berkenaan pada pagi Sabtu.

Hans ketika ditemui Sinar Harian berkata, setakat ini tiada kejadian dan insiden tidak diingini terjadi, malah proses pengundian terkawal sejak ia bermula kira-kira jam 9 pagi sehingga tengah hari.

"Proses pemilihan teratur bermula sejak jam 9 pagi dan kita berharap ia lebih lancar agar mereka yang hadir tidak perlu menunggu lama di pusat pengundian.

"Kita anggarkan jumlah kehadiran juga akan meningkat berbanding pemilihan lalu dengan anggaran melebihi 1000, 1500 (pengundi)," katanya ditemui di Dewan Dato Ahmad Razali di sini pada Sabtu.

Proses pengundian berlangsung dengan teratur setakat tengah hari pada Sabtu.
Proses pengundian berlangsung dengan teratur setakat tengah hari pada Sabtu.

Hans menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini dispekulasikan akan bertanding di kawasan Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya mengenai tahap sokongan yang diterima, Hans berkata, semua yang dicalonkan adalah ahli parti yang sama dan menyerahkan perkara itu kepada akar umbi untuk menentukan.

Sementara itu, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, turut senada dengan Hans apabila menyifatkan proses pengundian cabang berkenaan berjalan lancar.

"Walaupun secara fizikal namun masih menggunakan alat elektronik dan ini satu perkara baharu serta boleh menjadi lebih baik di masa depan dan setakat ini pemilihan berjalan dengan lancar," katanya.

Dari segi sokongan, Altimet mengakui memulakan kempen agak lambat namun pasukannya telah berusaha keras dalam usaha mengejar calon-calon lain yang mendahului mereka di cabang itu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pemilihan itu juga tidak menyebabkan hubungan dengan Hans menjadi renggang, sebaliknya hubungan mereka adalah baik seperti mana sebelum ini.

"Macam kita main bola walaupun berada dalam pasukan lain tujuan kita untuk menang namun selepas perlawanan kita masih boleh minum bersama, kita berkawan dan ini disebut semangat kesukanan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!