60 lagi tahanan lolos masih diburu

Hamzah (kanan) bertemu dengan orang ramai yang hadir ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut Bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini pada Sabtu.
Hamzah (kanan) bertemu dengan orang ramai yang hadir ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut Bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini pada Sabtu.
A
A
A

SELAMA - Seramai 60 orang baki tahanan lolos dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah sedang dikesan pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya terus menjalankan tangkapan dari semasa ke semasa sehingga kesemua tahanan tersebut diberkas.

Menurutnya, beberapa siri tangkapan telah dibuat dengan jumlah yang kecil berbanding jumlah ramai sebelum ini.

"Jumlahnya dahulu kita dapat tangkap ramai, kali ini kita dapat dua tiga orang tapi jumlahnya makin lama akan mencapai angka sebenar. Masih ada lagi yang belum ditangkap.

"Kalau kita tahu, kita dah tangkap. Sebelum ini ada yang kita tangkap di Selangor, di Perak ada merata-rata," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut Bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengenai pengaruh syiah dan mu'tazilah dalam aplikasi digital Al-Quran yang dikesan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hamzah berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, isu fahaman syiah jelas tidak diterima di negara ini dan tidak perlu lagi dibangkitkan.

"Yang penting pada kita ialah satu keputusan yang telah dibuat oleh jemaah mufti dalam negara kita dan kita terima.

"Pihak penguat kuasa sama ada melalui Jakim atau apa sahaja penguat kuasa yang patut mengambil tindakan, kita akan ambil tindakan," katanya

Pada Sabtu, media melaporkan Jakim mengesan aplikasi digital al-Quran yang mengandungi penyelewengan atau tafsiran yang menyimpang antaranya merangkumi pengaruh mu’tazilah dan tafsiran berasaskan fahaman Syiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menjelaskan perkara itu hasil dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan Jakim pada tahun lalu mengenai penyelewengan pentafsiran ayat-ayat al-Quran dalam aplikasi digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!