'Sakit kepala ayam tak ada' - Pengusaha katering

Keadaan di Pasar Selayang pada Sabtu.
Keadaan di Pasar Selayang pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengusaha katering terpaksa mengambil bekalan ayam dari Melaka susulan ketiadaan bekalan itu di Selangor.

Pengusaha katering Ezy Makan-Makan, Fatin Syuhada Saharuddin, 30, berkata, dia menghubungi beberapa pembekal di Selangor bagi mendapatkan bekalan namun tiada yang dapat menyediakan 80 ekor ayam diperlukannya.

"Sakit kepala fikir masalah ayam, sejak semalam hadapi masalah ayam.

Saya tanya pembekal di Selangor tak ada yang boleh jual banyak.

"Mulanya ada yang sanggup hantar ayam dari Melaka namun ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan menyebabkan saya sukarela mengambilnya sendiri, " katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, isu tiada bekalan ayam kali ini adalah yang terburuk sepanjang lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan tersebut.

"Kalau harga barang naik kita boleh hadap lagi tapi bila isu tiada bekalan ini memang sesuatu yang pelik.

Kalau tiada ayam, tak akan kita nak guna ayam kampung pula, lagi mahal kosnya.

"Isu ayam saya dah dengar sejak dua tiga hari lalu dan tidak pasti sampai bila masalah ini akan berlarutan namun berharap mampu diatasi segera," katanya.

Sementara itu, Pengarah Ayam Haji, Zaid Harithah Mizan, 28, berkata, hanya memperoleh 300 ekor bekalan ayam pada Sabtu dan jumlah itu berkurangan separuh berbanding pada kebiasaannya.

"Hari ini kita masih ada bekalan tapi tidak banyak menyebabkan ramai yang berpusu-pusu mencari ayam sejak awal pagi, jam 9 pagi bekalan dah habis.

"Semalam tiga ladang saya cari, tapi tiada yang mahu bekalkan ayam termasuk dari Selangor.

Ladang keempat baru dapat, itu pun dari Perak namun jumlahnya tidak banyak," katanya yang beroperasi di Pasar Selayang dan memiliki Grocer Rakyat Ayam Haji.

Zaid Harithah mengakui risau dengan masalah bekalan ayam di Selangor tambahan pula permintaan sedang tinggi ketika musim perayaan dan penganjuran rumah terbuka.

"Jika tiada ayam kita nak meniaga apa. Isnin ini kemungkinan tiada bekalan ayam langsung, saya masih tunggu respon daripada pembekal.

"Jika tiada ayam, kemungkinan kita terpaksa tutup kedai dan batalkan tempahan pelanggan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!