KUSKOP sasar buka lebih banyak Coopmart tangani harga barang

Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Kuala Selangor, Ahmad Daud Ab Hamid (tiga dari kanan) menyerahkan surat penghargaan sumbangan kepada Noh (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Puncak Alam 2, pada Sabtu.
Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Kuala Selangor, Ahmad Daud Ab Hamid (tiga dari kanan) menyerahkan surat penghargaan sumbangan kepada Noh (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Puncak Alam 2, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan untuk membuka lebih banyak Coopmart di seluruh negara bagi mengurangkan kenaikan harga barang.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa ini kira-kira 1,000 Coopmart di seluruh negara menjalankan fungsi menjual harga pada jauh lebih murah berbanding di kedai lain.

"Usaha (memperbanyak) Coopmart sedang kita rancang untuk membantu rakyat bagi mengurangkan beban harga barang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, pada Sabtu.

Noh berkata, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) juga diminta memainkan peranan menangani 'orang tengah' dengan menubuhkan pusat pengumpulan dan pengedaran.

"Sebagai contoh, kalau kita dapat mengambil barang daripada Petaling tanpa melalui orang tengah, insya-ALLAH ini dapat mengurangkan harga barangan," ujar beliau.

Selain itu katanya, koperasi di negara ini yang terlibat dalam bidang ternakan diminta mewujudkan sistem ladang kontrak bagi membantu orang ramai memperoleh barangan mentah seperti ayam dan telur pada harga lebih rendah.

Jelas beliau, menerusi sistem ladang kontrak, bekalan dapat diperoleh secara terus daripada penternak pada harga murah.

"Kita akan memperkemas lagi insiatif seperti ini dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!