Harga daging dijangka naik menjelang Aidiladha

Pengguna digalakkan membuat tempahan awal untuk ibadah korban menjelang perayaan Aidiladha Julai ini. - Gambar hiasan
Pengguna digalakkan membuat tempahan awal untuk ibadah korban menjelang perayaan Aidiladha Julai ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Pengguna digalakkan membuat tempahan awal untuk ibadah korban menjelang perayaan Aidiladha Julai ini, kata Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.

Beliau menjangkakan kenaikan harga daging ketika musim perayaan adalah 15 hingga 20 peratus berbanding harga asal pasaran susulan permintaan yang tinggi.

"Anggaran satu bahagian daging lembu korban adalah sebanyak RM700 hingga RM750 dan jika dikalikan dengan tujuh bahagian, anggaran harga seekor harga lembu adalah sekitar RM5,000 hingga RM8,000, tetapi ini bergantung juga dengan jenis lembu yang ingin dibeli.

"Kenaikan harga daging lembu, kambing dan kerbau dalam musim perayaan sememangnya sudah dijangkakan, oleh itu pengguna perlu berbelanja dengan bijak dan elak membuat pembelian pada saat akhir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, tanaman jagung bijian di tapak projek di Bukit Gemas bermula Ogos dengan melakukan kerja pembersihan kawasan tapak tanaman yang akan mengambil masa sebulan.

Media sebelum ini melaporkan tanaman jagung bijian akan dibangunkan di tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) di Gemas, Tampin, seluas 161 hektar, menerusi usaha sama Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dalam pada itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, setakat hari ini pihaknya belum menerima aduan orang awam berkaitan kenaikan harga ayam susulan penutupan kilang pengeluaran di Jasin, Melaka baru-baru ini.

Katanya, harga seekor ayam masih kekal RM8.90, namun mendapati peniaga mengenakan caj pemotongan ayam di Pasar Besar Seremban iaitu 90 sen bagi setiap kilogram. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!