Sebak terima diploma anak saudara
BANGI - Suasana pilu menyelubungi dewan utama Pusat Konvensyen Bangi Avenue apabila skrol diploma milik Allahyarham Muzz Mohd Nasir diberikan kepada ibu saudaranya sebagai wakil pada Majlis Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson ke-19.
Perasaan sebak dan hiba dirasai Norsimah Ibrahim, 61, tatkala naik ke pentas bagi menerima Diploma Pengajian Islam daripada Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi pihak Allahyarham Muzz yang meninggal dunia minggu lalu.
Norsimah berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu maut dalam kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggang mangsa bersama sebuah lori dalam kejadian di Nilai, Negeri Sembilan.
“Walaupun arwah sudah tiada, saya tetap bangga dengan kejayaan Muzz kerana dia sememangnya minat dalam bidang pengajian al-Quran.
“Cita-cita arwah mahu menjadi pengajar al-Quran kerana kecintaannya terhadap bidang itu sejak berumur tujuh tahun,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan pada Sabtu.
Terdahulu Sinar Harian pada 12 Mei lalu melaporkan, seorang guru al-Quran sebuah institusi swasta maut selepas digilis sebuah lori tangki di Jalan Batang Benar, Nilai, ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Muzz, 22, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Norsimah berkata, Allahyarham anak saudaranya yang dijaga sejak berumur lima tahun itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik, namun pada pagi kejadian, Allahyarham memeluknya dengan erat seperti tidak mahu dilepaskan.
“Saya ada terfikir kenapa Muzz peluk saya sangat erat dan tidak seperti kebiasaan. Namun beberapa hari sebelum kemalangan, setiap pagi saya akan rasa sayu dan hiba seolah-olah dia sudah tiada, walhal dia ada dalam bilik tidurnya.
“Apa yang membuatkan saya sangat terkilan, arwah pernah beri tahu diploma yang bakal diterimanya ini adalah hadiah kepada saya, tidak sangka memang dia ‘beri’ peluang untuk saya terima (skrol diploma) di atas pentas,” katanya.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Nasir Ibrahim, 58, berkata, Muzz merupakan harapan keluarga itu untuk menjaga abangnya yang menghidap autistik.
“Muzz ada seorang abang berumur 29 tahun yang autistik manakala dua orang kakaknya sudah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri.
“Saya pernah berpesan kepada arwah supaya jaga abangnya jika suatu hari nanti saya sudah tiada (meninggal dunia), namun ALLAH lebih sayangkan dia,” katanya.
Majlis Konvokesyen ke-19 Kolej UNITI Port Dickson melibatkan 853 graduan dianugerahkan diploma dalam pelbagai bidang pengajian.
Mereka terdiri daripada 449 graduan Fakulti Pengurusan Industri Halal, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (342) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (62).
Perasmian istiadat konvokesyen tersebut telah disempurnakan oleh Dr. Zulkifli dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI, Amir Hamzah Md Isa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!