Pejuang belum putuskan kaedah kerjasama hadapi PRU15: Mukhriz
KOTA KINABALU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pihaknya masih mencari kaedah sesuai untuk mewujudkan gabungan seperti mana dilaksanakan pada PRU14 lalu.
"Jadi saya kira semua faham bahawa ada beberapa cara perkara ini boleh berlaku. Salah satunya adalah untuk mewujudkan gabungan seperti mana yang telah dibuat pada PRU14 lalu atau satu pakatan politik semata-mata untuk mengurangkan pertindihan semasa pilihan raya.
"Jadi dua pendekatakan ini belum lagi diputuskan dan dengan siapa pun belum kita putuskan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Pemukiman Pejuang Sabah di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana perkembangan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU15 terutama di Sabah ketika ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun menegaskan, kerjasama itu nanti mestilah dengan parti yang boleh berkongsi prinsip dengan Pejuang.
"Yang paling penting bagi kami, siapa juga yang kita mahu pupuk kerjasama mestilah berkongsi prinsip. Jadi kalau ada prinsip tertentu yang bertentangan, itu kita akan jadikan satu faktor dalam kami membuat keputusan.
"Kami terbuka untuk berbincang dengan parti lain baik, besar yang berkaitan kerajaan mahu pun yang kecil-kecil yang belum pernah bertanding, kita terbuka dalam hal itu," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai sasaran kerusi untuk PRU15, Mukhriz berkata, perkara itu sedang melalui proses perbincangan di peringkat parti.
"Buat masa ini, bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh negara kita perlu melalui satu proses yang agak menyeluruh berkaitan dengan jumlah kerusi yang hendak dipertandingkan, di mana apa kekuatan kita di kawasan-kawasan itu sebelum kita membuat sebarang pengumuman.
"Seperti mana parti lain, saya kira antara kriteria paling penting adalah jumlah keahlian, berapa ramai terlatih untuk menghadapi pilihan raya, adakah kita mempunyai tokoh yang boleh kita calonkan dan kebarangkalian untuk kebolehmenangan kita di situ. Jadi semua perkara ini akan kita pertimbangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!