Rusia akhirnya tawan bandar Mariupol
MOSCOW - Rusia telah mengisytiharkan kemenangan selepas ia berjaya menawan bandar pelabuhan strategik Mariupol yang menjadi medan pertempuran sengit sejak beberapa minggu lalu.
Pengumuman itu dibuat pada Jumaat selepas Ukraine didakwa mengarahkan pasukan terakhir pertahanan mereka di kilang keluli Azovstal supaya meletak senjata.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenko memaklumkan kira-kira 2,439 anggota tentera Ukraine telah menyerah diri sejak 16 Mei lalu dan kumpulan terakhir terdiri daripada 500 orang.
“Kompleks perindustrian Azovstal dan bandar Mariupol kini bebas,” ujar Konashenko.
Susulan itu, Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu telah memaklumkan kepada Presiden Vladimir Putin bahawa operasi itu telah berakhir.
Ketika ini, Kiev berharap proses pertukaran tahanan dapat dilakukan, namun pihak berkuasa pro-Kremlin di Donetsk mengancam untuk membicarakan sebahagian tentera Ukraine setelah anggota tentera Rusia, Sarjan Vadim Shishimarin, 21, berdepan perbicaraan atas tuduhan melakukan jenayah perang.
Shishimarin turut mengaku bersalah kerana membunuh orang awam tidak bersenjata pada awal kempen pencerobohan itu bermula walaupun peguam bela tertuduh tetap mempertahankan tindakannya.
Dalam perkembangan berkaitan, pertempuran dilaporkan semakin sengit di wilayah timur Donbas yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia sejak 2014.
“Percubaan untuk menyerang Donbas diteruskan. Bandar Rubizhne dan Vonokvakha musnah dibedil sama seperti Mariupol,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dengan nada kesal.
Menurutnya, perang Ukraine hanya boleh dihentikan melalui ‘diplomasi’ setelah rundingan damai antara Kiev dan Moscow menemui jalan buntu.
“Terdapat perkara yang dapat mencapai kesepakatan hanya di meja rundingan. Kami mahu keadaan kembali seperti sebelum ini, namun Rusia menolak cadangan itu,” katanya.
Difahamkan, kali terakhir rundingan damai dijalankan adalah pada 22 April lalu dan kedua-dua belah pihak dikatakan mencapai persetujuan dalam beberapa perkara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!